Pemilih Semula CEC: PAS Dakwa DAP Pengecut


KOTA BHARU - PAS menyifatkan DAP sebagai penakut kerana tidak berani untuk meng­adakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mengikut arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu sehingga tidak berani untuk melaksanakan arahan yang mudah daripada ROS kerana itu merupakan tanggungjawab mereka bagi memenuhi tuntutan undang-undang.

Malah katanya, aduan me­ngenai manipulasi pemilihan CEC pada 2012 itu dibuat oleh ahli-ahli DAP sendiri yang pastinya ada asas.

“Apa hendak takut buat pemilihan semula dan apa hendak ditakutkan kalau tidak ada masalah dalaman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, semalam.

Jumaat lalu, ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan CEC yang baharu secara telus bagi membolehkan perwakilan memi­lih 20 anggotanya yang sah dan diiktiraf.

Walau bagaimanapun, setiausaha agung­nya yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng mempertikaikan arahan ROS dan bertegas untuk tidak akan me­ng­adakan pemilihan semula CEC yang baharu dengan alasan parti itu telah berbuat demikian pada 29 September 2013.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, DAP perlu menanggung implikasi pada masa depan sekiranya mereka ingkar dengan arahan ROS tersebut.

“Negara kita ada undang-undang, mengapa perlu ingkar?” soalnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar berkata, kerajaan PAS Kelantan akan memberi komitmen untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam tempoh terdekat.

Katanya, program itu melibatkan orang ramai dan perlu diadakan mengikut tarikh yang sesuai.

“Kita bukan tidak mahu beri kerjasama, cuma tidak sampai jadual kita lagi. Jangan salah faham. Setiausaha Kerajaan Ne­geri sedang mencari tarikh sesuai untuk majlis ikrar tersebut,” kata­nya.

Sumber: Utusan


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com