Pelakon Cedera Parah Akibat 'Selfie', Terperangkap Tiga Hari


BANGKOK - Bekas pelakon filem bersiri popular Britain, EastEnders, Paul Nicholls, cedera parah selepas jatuh di kawasan air terjun di Thailand dan terperangkap tanpa makanan selama tiga hari.

Nicholls, 38, meneroka kawasan Air Terjun Khun Si di Pulau Koh Samui ketika insiden itu berlaku dan kejadian berkenaan nyaris meragut nyawanya.

Portal The Sun yang memetik kenyataan Nicholls, dia meluahkan rasa bersyukur kerana masih hidup.

Pelakon itu dipercayai memasuki kawasan hutan itu secara bersendirian apabila dia terjatuh di kawasan air ketika mahu mengambil gambar ‘selfie’.

Kejadian itu menyebabkan kakinya terhentak pada batu dan mengalami kecederaan parah.

Hanya selepas tiga hari, Nicholls ditemukan berlindung di belakang kolam berbatu oleh seorang penduduk tempatan yang menghubungi pihak berkuasa.

Pasukan penyelamat sebelum itu gagal menemukan pelakon tersebut dalam tempoh pencarian selama tiga hari berkenaan.

Satu rakaman video menunjukkan Nicholls merintih kesakitan sebelum anggota penyelamat mengusungnya keluar.


Usaha membawanya keluar mengambil masa selama dua jam untuk tiba di Hospital Antarabangsa Koh Samui kerana lokasi penemuannya yang terpencil.

Ketika ditemukan, mangsa berada dalam keadaan separuh sedar dan mengalami hipotermia serta patah kaki.

Bagaimanapun keadaan menjadi lebih buruk apabila dia dipaksa berpindah ke klinik lain selepas doktor memberitahu kos rawatan untuk satu malam mencecah £13,000 (RM72,603).

Satu sumber mengesahkan bahawa kos pembedahan di Koh Samui mencecah £90,000 (RM502,483) dan kini Kedutaan British merancang untuk menerbangkan Nicholls ke kawasan bandar selain mempertimbangkan sama ada dia memerlukan pembedahan serta-merta, atau boleh dibawa pulang ke UK.

Mengulas tentang pengalaman pahitnya itu kepada The Sun, Nicholls menjelaskan bahawa dia tidak sesat, tetapi telefon bimbitnya tidak berfungsi selepas jatuh ke dalam air- menyebabkan dia tidak dapat menghubungi sesiapa.

“Saya bertuah kerana masih hidup. Mereka mengambil masa yang lama untuk mencari saya. Keadaan saya sangat teruk pada masa itu.

“Kaki saya patah dan tempurung lutut saya sudah tiada. Ia memerlukan pembedahan pembinaan semula.’

Pelakon itu tiba di Thailand pada minggu lepas, untuk menikmati masa rehatnya selepas penat menjalani penggambaran.

Insiden itu berlaku sebulan selepas pelancong Britain, Geoffrey Maui, 28, maut dengan tragis akibat terjatuh di lokasi yang sama.

Pihak berkuasa Thailand mengesahkan insiden di lokasi tersebut telah menyebabkan dua kematian dan tiga lagi mangsa cedera.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com