PAS Mahu Rampas Permatang Pauh, Angkatan Muda Keadilan Diberi 'Amaran'



ALOR SETAR- Kedudukan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dikuasai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan  Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bakal tergugat?

Ini berikutan usaha awal  PAS memperkukuhkan jentera partinya di kubu PKR itu selepas kedua parti itu menamatkan kerjasama politik pada 11 Mei lalu.

PAS melancarkan jentera pilihan rayanya di Parlimen itu semalam bagi mempastikan Barisan Nasional (BN) gagal menawannya daripada PKR pada pilihan raya umum akan datang. 

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Permatang Pauh pula semalam telah diberi ingatan oleh PAS agar tidak cuba mengaitkan PAS  dengan UMNO.

AMK diminta cermat dan matang dalam membuat telahan agar tidak keterlaluan mengaitkan usaha yang dilakukan PAS itu sebagai memberi 'talian hayat' kapada UMNO BN untuk mengganggu Parlimen Permatang Pauh.

 HarakahDaily melaporkan, pelancaran jentera pilihanraya itu adalah  sebahagian rutin dalam gerak kerja dan operasi PAS sebagai parti politik. 

Ia bukan perkara baharu, tetapi menyegarkan semula penyusunan dan keupayaan jentera. Malah, ia dilakukan mengikut lunas-lunas dan keterbukaan demokrasi yang diamalkan dalam negara ini.
.
Parti juga itu mengingatkan AMK supaya sedar bahawa PAS dan PKR sudah tidak lagi mempunyai ikatan kerjasama politik (tahaluf siyasi) bagi menghadapi pilihan raya ini.

Mengapa perlu merasa tergugat atau terancam sedangkan AMK juga mempunyai tanggungjawab menggerak dan mengembleng kekuatan sendiri, kata penulisnya yang dipetik portal rasmi PAS itu.

"Jangan merasa takut kepada bayang-bayang sendiri dan merasa perolehan kerusi secara persaingan sihat sebagai milik mutlak hingga menghalang hak demokrasi yang ada," kata penulis itu lagi.

Pada PRU13, PAS menenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir  sementara dua lagi DUN, Penanti dan Seberang Jaya dipertahankan oleh PKR.

Dr. Wan Azizah  mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya kecil (PRK) 7 Mei 2015 dengan majoriti undi yang merosot. PRK itu diadakan selepas penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com