Pas Kecam Tindakan Rejim Israel


MARANG - Pas mengecam sekeras-kerasnya tindakan regim haram Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan menahan Mufti Baitul Maqdis yang merupakan satu tindakan jenayah biadap Israel kepada umat Islam.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, alasan sama juga telah digunakan regim berkenaan untuk membenarkan tindakan mereka pada 12 Disember 1968 apabila tercetusnya tragedi pembakaran Masjid Al-Aqsa.

"Saya menyeru kepada pemimpin dunia Islam dan umat Islam seluruhnya untuk sedar dan bersatu apa juga usaha bagi melawan regim berkenaan dan sekutunya.

"Masjid Al-Aqsa dan keselamatan Baitul Maqdis adalah tiang kesatuan umat dan mesti menjadi salah satu matlamat utama umat Islam dalam mengharungi percaturan politik dunia untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman regim haram Israel dan Zionis.

"Saat genting ini sedang berlaku terhadap Masjid Al-Aqsa di tengah kekalutan dunia Arab.

"Sepatutnya OIC, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Ketua-ketua Negara umat Islam bukan sekadar mengecam tindakan Israel dan Zionis itu bahkan mengambil tindakan drastik yang munasabah bagi mengembalikan Masjid Al-Aqsa dan tanah hak milik umat IIslam," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, satu usul tergempar akan dibincangkan sempena Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) yang akan diadakan pada 20 hingga 22 Julai ini di Kelantan.

"Kita akan membincangkan usul tergempar bagi mengecam tindakan regim haram Israel ini dan memperkukuhkan kesatuan umat Islam bagi mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan keamanan dunia," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com