PAS Akui Kritikal Terpaksa Berdepan BN, Pakatan Harapan


BUKIT MERTAJAM - PAS akui pilihan raya umum ini adalah kritikal bagi parti itu kerana terpaksa berdepan Pakatan Harapan selain Barisan Nasional.

"Ini adalah kali pertama dalam sejarah, pembangkang menentang pembangkang dalam pilihan raya umum dan pihak lawan sepatutnya tahu di mana peluru hendak disasarkan," kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

Idris berkata PAS akan bertanding di 140 kerusi Parlimen pada PRU14 menerusi gabungan Gagasan Sejahtera bagi membolehkan parti itu membentuk kerajaan jika rakyat memberi mandat kepada PAS.

Sementara itu beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menegaskan bahawa  PAS masih berada dalam kelompok  pembangkang dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau menolak dakwaan dan tuduhan Pakatan Harapan termasuk pengerusi gabungan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa 'PAS makan dedak UMNO'.

"Bagaimana kamu (Pakatan Harapan) menyatakan kami berada di saf BN. Carilah hujah lain untuk menentang kami. Sedangkan kita lihat 13 kali pilihan raya umum sekali sahaja PAS tak lawan UMNO iaitu pada tahun 1974. (PRU) yang lain kita lawan BN."

Idris menyarankan  Dr Mahathir agar berhenti menuduh PAS makan dedak UMNO, sebaliknya belajar bagaimana untuk menjadi pembangkang yang sebenar.

Beliau berkata demikian ketika  melancarkan jentera pilihan raya PAS Parlimen Permatang Pauh, di sini semalam.

Sementara itu menurut laporan HarakahDaily pelancaran PAS kawasan itu adalah persediaan dan komitmen PAS untuk memastikan UMNO/BN tidak merampas Parlimen itu yang kini diwakili oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri, Wan Azizah Wan Ismail. - Kedahnews.com 



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com