Paku Penuh Jalan, 100 Kenderaan Terpaksa Berhenti

 Related image

ZHENJIANG - CHINA. Lebih 100 kenderaan terpaksa berhenti mengejut di lebuh raya di timur China selepas tayar mereka pancit disebabkan ribuan paku dan skru bertaburan di jalan.

Paku dan skru berkenaan terjatuh secara tidak sengaja dari sebuah lori muatan sisa logam di sepanjang 40km di Shaoxing, wilayah Zhejiang, lapor Qianjiang Evening, pada Selasa.

Polis trafik menyifatkan insiden ini sebagai yang paling buruk berlaku di Zhejiang dan berkata tiada kecederaan dan kematian dilaporkan.

Beberapa pemandu terlibat dipetik sebagai berkata, mereka memandu dengan kelajuan maksimun iaitu 120km/j ketika melanggar paku dan skru yang bertaburan di jalan.

Selepas diperiksa, lebih 30 keping logam dikeluarkan dari setiap tayar kenderaan mereka.

Seramai 200 pekerja penyelanggaraan dikerahkan bagi membersihkan jalan berkenaan dan mengambil masa selama lima jam.

Polis kemudian menahan lori berkenaan selepas menerima aduan dari pengguna jalan raya lain yang menyaksikan kejadian itu.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan berkata, dia langsung tidak menyedari perkara itu dan percaya dia telah mematuhi had muatan yang betul sebelum memulakan perjalanan.

Malangnya lelaki itu terpaksa mengeluarkan wang poket sendiri untuk membaiki kenderaan terjejas kerana syarikat insuran tidak akan membiayai sebarang kerosakan.

"Apa yang perlu saya buat. Saya tidak mampu bayar menggunakan wang sendiri," katanya.

Bagaimanapun, sama ada dia akan menghadapi sebarang tuntutan jenayah masih tidak dapat dipastikan.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com