Orang Langkawi Tak Perlu Pembangkang, Puas Hati Prestasi Tiga Wakil Rakyat


ALOR SETAR - Penduduk Pulau Langkawi tidak perlukan wakil rakyat daripada parti pembangkang untuk mewakili mereka kerana Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Negeri Barisan Nasional (BN) sedia ada telah menunjukkan prestasi yang memuaskan.

Malah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah  menyatakan rasa puas hati dengan prestasi perkhidmatan tiga wakil rakyat BN di pulau pelancongan yang termasyhur itu.

Sejak pecah sempadan pilihan raya dengan Jerlun, penduduk Parlimen Langkawi, DUN Ayer Hangat dan Kuah telah memberikan mandat kepada BN untuk mewakili suara mereka. 

Ahmad Bashah berkata tiga wakil rakyat berkenaan iaitu, Datuk Nawawi Ahmad (Langkawi), Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid (Ayer Hangat) dan Nor Saidi Nanyan (Kuah) telah bekerja sebagai satu pasukan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan pembangunan untuk rakyat di pulau pelancongan ini.

"Kesemua wakil rakyat ini telah menunjukkan perkhidmatan yang cemerlang dan tidak timbul isu untuk menukarkan mereka (akan dicalonkan bertanding pada pilihan raya umum ke-14) setakat ini," kata Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah semasa Majlis Jamuan Hari Raya Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di Langkawi, semalam.

Parlimen Langkawi adalah antara kawasan yang dijangka kekal dikuasai BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad disebut-sebut akan meletakkan calon. - Kedahnews.com.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com