Orang Kampung Di Sg Gelam Tak Payah Tunggu Lori SADA Lagi, Telaga Tiub Ada!


SUNGAI PETANI - Penduduk di beberapa kampung di Merbok, Daerah Kuala Muda adalah antara yang sering menghadapi masalah mendapatkan bekalan air bersih akibat tekanan yang rendah serta kekurangan air di tadahan logi Tupah dan Merbok. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan, Badan-Badan Bukan Kerajaan, Datuk Tajul Urus Mat Zain memberitahu, kerajaan memerlukan peruntukan kira-kira RM­200 juta bagi membaiki sistem bekalan air di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, sementara projek pembaikan itu dilaksanakan, kerajaan akan membina telaga tiub di kampung-kampung sebagai alternatif untuk mengatasi masalah penduduk mendapatkan bekalan air terutama pada musim kemarau dan sewaktu gangguan bekalan, kata Tajul Urus.

Beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Dawai berkata, pelaksanaan Projek Air Telaga Tiub oleh Maj­lis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) di beberapa kampung di sini adalah langkah sementara bagi mengatasi krisis air.  

Sementara itu, seramai 760 orang penduduk di Kampung Sungai Gelam di sini menzahirkan rasa gembira dengan terlaksananya projek telaga tiub itu.

Pengerusi Jawatan­kuasa Kemajuan dan Kese­lamatan Kam­pung (JKKK), Abdullah Sani Mohd. Nayan berkata, keluarga daripada 160 buah rumah di kawasan tersebut se­belum i­ni­ menghadapi pelbagai masalah men­dapatkan bekalan air bersih yang terlalu bergantung kepada loji air di Tupah.

“Langkah diambil MPSPK menerusi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) bagi membina Air Telaga Tiub di sini cukup bermakna bagi kami, " katanya.

Menurutnya penduduk di kawasan ini tidak payah lagi me­nunggu lori Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd (SADA) menghantar air kerana mereka boleh mengambil air di telaga berkenaan sebanyak mana yang diperlukan.

Projek telaga tiub tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di kawasan ini, dilancarkan oleh Tajul Urus sempena sambutan rumah terbuka di kampung itu baru-baru ini.

Tajul Urus memberitahu beberapa projek telaga tiub lagi akan dilaksanakan iaitu di Kampung Batu Hampar, Pekan Sebelah, Kubang Bemban dan Bendang Dalam,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com