Mukhriz Jangka Pakatan Dapat "Pancing" PAS Bergabung Di Kedah?


ALOR SETAR - Atas kepentingan kuasa dan politik, Pakatan Harapan dijangka akan bergabung dengan PAS di negeri Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dikatakan bakal berlangsung tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam satu kenyataan berkata, meskipun "bercerai" di peringkat Pusat, beliau yakin dapat "menjinakkan" PAS Kedah untuk mencapai persefahaman kerjasama politik.

"Tiada penyelesaian tunggal dalam politik. Ada orang percaya PPBM tidak akan menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan tetapi ia akhirnya berlaku," katanya memetik laporan sebuah portal, baru-baru ini.

Mengulas mengenai PAS Kedah yang mengumumkan bakal bertanding di semua 36 kerusi Dun dan 15 kerusi Parlimen di negeri itu, Mukhriz yakin pihaknya akan mampu mempengaruhi PAS untuk mengelak pertembungan tiga penjuru di Kedah.

Justeru itu, beliau optimis akan wujud kerjasama antara Pakatan Harapan dengan PAS di peringkat negeri Kedah.

Baru-baru ini, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, parti itu akan bertanding di semua 36 kerusi dewan undangan negeri serta 15 kerusi parlimen pada PRU ke-14 yang akan datang.

Bagaimanapun katanya, keputusan muktamad tertakluk kepada kehendak PAS Pusat dan ia dibuat dengan mengambil kira kewujudan blok Gagasan Sejahtera yang dianggotai bersama Parti Ikatan, pimpinan Tan Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir.

Mukhriz dilaporkan berkara sedemikian kepada media ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri bagi Dun Ayer Hitam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pucuk pimpinan PAS sebelum ini berkali-kali menegaskan bahawa PAS akan kekal di dalam Gagasan Sejahtera dengan membawa wadah politik matang dan sejahtera.

Tegas PAS, parti itu membawa perjuangan mencari redha Allah dan tidak seperti pembangkang lain yang rakus mengejar kuasa politik sehingga sanggup mengenepikan hukum-hakam agama.

PAS sehingga kini masih konsisten berpatah arang dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN), manakala bertindak memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR pasca muktamar PAS yang lalu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com