Maut Terhidu Gas Beracun Di Alor Gajah


LELAKI maut manakala tiga rakan sekerjanya menerima rawatan akibat sesak nafas selepas terhidu gas disyaki beracun ketika meleraikan komponen di dalam sebuah kapal di Jeti Kuala Linggi, Masjid Tanah, Alor Gajah, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang, mangsa T Sathis, 31, dari Kuala Selangor, Selangor yang baru lapan hari bekerja ditemui pengsan di bahagian enjin kapal bantuan pesisir pantai itu.

Manakala tiga pekerja lelaki lain berusia 30-an terselamat selepas berjaya keluar dari kapal berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah Pegawai Bomba Kanan II Ismail Iskandar Shah Abdullah berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.37 petang.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, anggota dimaklumkan seorang lelaki pengsan akibat sesak nafas di bahagian enjin kapal itu.

Katanya, pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira 6.20 petang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian, manakala tiga pekerja lain yang mengalami sesak nafas dihantar ke Hospital Alor Gajah (HAG) untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HAG untuk proses bedah siasat,” katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com