MARA Terengganu Biayai 'Food Truck' Hingga RM100,000


KUALA TERENGGANU - Majlis Amanah Rakyat (MARA) Terengganu menyediakan dana sebanyak RM43 juta tahun ini, bagi membantu usahawan memula dan mengembangkan perniagaan.

Pengarah MARA negeri, Salemi Yusof, berkata pihaknya juga menyediakan kemudahan pembiayaan untuk usahawan baharu yang berminat untuk menjalankan perniagaan 'food truck'.

Beliau berkata, masih ramai usahawan 'food truck' tidak mengetahui mengenai dana disediakan.

Katanya, setakat ini, hanya dua usahawan 'food truck' memanfaatkan pembiayaan MARA, masing-masing berjumlah RM70,000 dan RM100,000 untuk membeli kelengkapan dan peralatan perniagaan.

"Kita tidak mempunyai pembiayaan khusus untuk perniagaan 'food truck', tetapi memandangkan perniagaan ini menjadi ikutan masa kini terutama membabitkan golongan muda, kita mengembangkan pembiayaan untuk perniaagaan 'food truck'.

"Usahawan 'food truck' atau peniaga yang berminat untuk mendapatkan dana ini boleh membuat permohonan kepada kita.

"Kadar bayaran balik yang ditetapkan minimum dan tidak membebankan," katanya kepada media pada majlis sambutan Aidilfitri Persatuan 'Food Truck' Terengganu (T-Truck) di Dataran MARA, di sini, malam kelmarin.

Salemi berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan persatuan itu untuk menyediakan kemudahan tapak kekal kepada peniaga 'food truck'.

"Setakat ini, kita bersetuju menjadikan tapak Dataran MARA ini sebagai tapak khusus selama dua hari setiap minggu, tetapi waktu dan harinya masih dalam perbincangan," katanya.

Sementara itu, Pengurus majlis T-Truck, Dr Norzila Tengah @ Abd Rashid, berkata pihaknya kini dalam usaha mencari tapak khusus untuk dijadikan lokasi tetap peniaga 'food truck'.

"Jika ada tapak khusus disediakan, lokasi peniaga akan lebih mudah diketahui dan senang untuk kami menarik lebih ramai pelanggan," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com