Mampukah Mukhriz 'Jinakkan' PAS Kedah?


ALOR SETAR - Mampukah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjinakkan PAS Kedah? Apa kata PAN, PKR dan DAP tentang usaha Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ini?

Dua persoalan itu perlu dijawab bagi meyakinan penyokong parti tersebut walaupun PAS sebelum ini bertegas enggan  bekerjasama dengan parti yang menjalin hubungan dengan DAP dan PAN.

Cadangan Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah itu,walaupun dianggap peribadi, ia  sekaligus mendedahkan ' kebimbangan' Pakatan Harapan bahawa tanpa kerjasama dengan PAS adalah sukar untuk PH menang di negeri ini pada pilihan raya umum kelak.

Ramai pula yang melihat kenyataan Mukhriz (kerajasama dengan PAS) itu membuktikan  PPBM belum bersedia di negeri ini walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Mukhriz menerima sokongan ketika bersama UMNO di Kedah. 

Semalam PAN menerusi timbalan pengerusi negeri, Datuk Phahrolrazi Mohamad Zawawi meminta PPBM menyerahkan kerusi yang diperuntukkan oleh Pakatan Harapan kepada parti itu jika mahu berunding (bekerjsama) dengan PAS Kedah. 

PAS yang menyifatkan PRU kali ini cukup sengit  (kritikal) kerana parti itu bakal bertarung sesama pembangkang, sedangkan BN/UMNO pula mahu mempertahankan Kedah dengan kemenangan majoriti dua pertiga.

Usaha Mukhriz untuk memancing PAS itu juga dilihat 'ikhtiar terakhir' PPBM untuk menawan hati orang Melayu di Kedah.
  
Bagaimanapun mungkin Mukhriz melihat Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dapat  membantu  memujuk PAS walaupun bekas Pesuruhjaya PAS negeri itu  ditolak oleh ahli PAS kerana pendiriannya kini condong kepada Pakatan Harapan.

Sebelum ini, PAS Kedah memaklumkan parti itu akan bertanding semua 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri. PAS mendahului parti pembangkang lain di negeri ini di segi jumlah kerusi  DUN yang dimenangi  pada PRU13 lalu.

Kenyataan Mukhriz untuk memikat PAS ini memperlihatkan  beliau mungkin  'diutus khas' sebagai ketua Pakatan Harapan bagi negeri ini bagi memujuk PAS.

Sehingga ini PH belum diputuskan siapa ketua rasmi bagi mengetuai jentera parti parti gabungan itu itu di Kedah, antara negeri yang menjadi 'rebutan' PAS dan PAN pada PRU14. 

Sebelum ini, Dr Mahathir sebelum menganggap beliau sebagai pemimpin utama Pakatan Harapan Malaysia selepas dilantik sebagai pengerusi walaupun PKR menobatkan Anwar pemimpin nombor satu gabungan itu. -Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com