Malaysia, Maghribi Tandatangani Perjanjian Perjalanan Tanpa Visa


PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia dan Maghribi yang memiliki dokumen perjalanan sah boleh melakukan lawatan rasmi atau sosial ke negara satu sama lain hingga selama 90 hari tanpa perlu menggunakan visa, tidak lama lagi.

Ini adalah hasil daripada perjanjian mengenai penghapusan sebahagian daripada syarat visa yang ditandatangani kerajaan kedua-dua negara di sini semalam.

Pada majlis menandatangani perjanjian itu, Malaysia diwakili ketua setiausaha Kementerian Luar Datuk Ramlan lbrahim, manakala Maghribi diwakili Duta Besarnya di Malaysia Mohammed Reda Benkhaldoun.

"Perjanjian ini akan berkuat kuasa setelah semua syarat dipenuhi kedua-dua negara,” kata Ramlan kepada pemberita selepas upacara menandatangani perjanjian itu di Wisma Putra.

Beliau berkata penghapusan sebahagian daripada syarat visa itu akan menggalakkan lebih banyak rakyat Malaysia dan Maghribi melawat negara satu sama lain. Kini, kira-kira 3,000 rakyat dari kedua-dua negara melakukan lawatan ke negara satu sama lain setiap tahun.

Menurut Ramlan, kini sebanyak 145 rakyat Malaysia menuntut di Maghribi, manakala 116 pelajar Maghribi melanjutkan pengajian di Malaysia.

Ramlan berkata beliau menjangka hubungan dua hala antara Malaysia dan Maghribi akan bertambah erat hasil daripada peningkatan jumlah lawatan rasmi dan sosial oleh rakyat kedua-dua negara.

Beliau juga menjangka ada syarikat penerbangan akan memperkenalkan penerbangan terus antara Malaysia dan negara itu.

"Ini akan menjadi platform untuk meningkatkan lagi kerjasama ekonomi, perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara kedua-dua negara,” katanya.

Tahun lepas, dagangan antara Malaysia dan Maghribi berjumlah RM388.39 juta, meningkat 24.9 peratus daripada 2015.

Eksport utama Malaysia ke Maghribi termasuk minyak sawit dan produk berasaskan sawit, barangan elektrik dan elektronik, jentera dan produk getah, manakala import utama pula termasuk tekstil, pakaian, kasut, bahan dan produk kimia, serta makanan laut segar, sejuk dan sejuk beku. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com