'Mak Jah' Orang Kuat Belakang Vida


IPOH - Bagi mereka yang selalu berjumpa dan berurusan dengan usahawan selebriti, Datuk Seri Vida, pasti pernah bertemu dengan wanita yang sentiasa di sisi pengasas produk Vida Beauty itu.

Wanita dikenali dengan panggilan Mak Jah itu sebenarnya kakak kepada Vida, yang menjaga wanita terbabit sejak kecil, selain menjadi insan kepercayaan beliau.

Bertemu dengan Mak Jah atau namanya sebenarnya Azizah Othman, 49, membuka banyak kisah mengenai kesungguhan Vida yang memang meminati perniagaan sejak kecil.

"Saya memang bersama Vida sejak dia kecil sehingga kehidupan remaja dan sampailah hari ini. Saya memang mahu adik saya hidup selamat dan tidak bertemu dengan orang yang silap.

"Saya juga memenuhi permintaannya tinggal di rumah ini, meskipun mempunyai kediaman sendiri di Kelantan," katanya ketika ditemui di rumah agam Vida di sini, baru-baru ini.

Bagi Mak Jah, Vida, 46, seorang yang tidak mudah putus asa dan rajin bekerja sehingga dia sendiri bimbang apabila adiknya pulang lewat pagi dan tidak cukup rehat.

Sebagai kakak, beliau sentiasa memastikan adiknya mendapat makan yang cukup dan sentiasa berpesan supaya Vida berehat agar tidak jatuh sakit.

"Saya masih ingat ketika Vida menuntut di Pulau Pinang, setiap dua minggu saya akan ke sana menaiki bas untuk menghantar sambal daging buat dirinya.

"Vida juga rajin membuka gerai untuk berniaga, jadi saya ke sana bantu menjual makanan Kelantan. Kadang-kadang bawa kain batik. Memang dia suka berniaga," katanya.

Ditanya kenangan paling diingati, wanita ini berkata, kejadian Vida ditimpa musibah apabila air panas terkena bahagian kaki dan menyebabkan kulit adiknya itu cedera parah antara yang tidak dapat dilupakan.

"Sepanjang di hospital, kami menangis bersama-sama apabila saya perlu mencuci luka Vida kerana bimbang akan terkena jangkitan kuman.

"Vida adik yang kuat semangat. Apabila ada orang cuba menyakiti dirinya, saya memang akan ke depan membela adik saya. Jangan mudah menghukum jika tidak tahu susah payah seseorang itu," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com