‘Magic Song’ Mudah Ingat Formula Al-Quran

 ‘Magic song’ mudah ingat formula al-Quran

KOTA BHARU - Penggunaan ‘magic song’ yang digunakan semasa pembelajaran mengaji al-Quran bagi Teknik Cordobana banyak membantu peserta mudah mengingati formula, di samping cepat membaca al-Quran.

Ketua Pegawai Operasi Akademi Cordoba, Azam Aris berkata, kelebihan Teknik Cordobana terletak kepada formula yang digunakan, sekaligus dengan bantuan ‘magic song’ yang diselang-seli semasa pembelajaran, boleh membantu.

“Apa yang menarik mengenai Teknik Cordobana, ia adalah satu program yang mudah dipelajari, malah kaedahnya mudah difahami menjadikan peserta lebih bersemangat untuk membaca al-Quran.

“Teknik Cordobana ini melibatkan interaktif antara peserta dengan pengajar, ia sekaligus menjadikan  mereka berasa bersemangat, malah semasa belajar, teknik motivasi berkenaan menjadikan peserta rasa dekat dengan al-Quran,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada kelas Teknik Cordobana Kali Kelapan di Kelantan yang kini sedang berlangsung di Rumah Ngaji Kelantan iaitu di pejabat Sinar Harian Kelantan, Pengkalan Chepa, dan akan berakhir esok.

Turut hadir, Master Trainer, Agus Salim Hasanudin dan Trainer, Mohd Afif Fahmy Mohd Zulhery Fahmy dan Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.

Azam berkata, teknik yang diajar juga menjadikan peserta tidak malu semasa belajar kerana pengajar membantu peserta hingga mereka boleh membaca dengan sendiri.

“Biasanya kita lihat, semasa belajar, peserta membaca sambil didengari oleh pengajar dan peserta lain, tetapi bagi Teknik Cordobana, seorang demi seorang peserta akan dibantu secara terus oleh pengajar (trainer).

“Teknik sebegini lebih memberi kesan berbanding teknik lain sebab ia mudah, cepat dan berkesan, malah kaedah ini juga lebih universal iaitu boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia,” katanya.

Kata Azam, sebelum ini orang sering memikirkan susah untuk dan rumit belajar al-Quran, tetapi menersui Teknik Cordobana, peserta berasa mudah dan menjadikan mereka bersemangat untuk terus membaca al-Quran.

“Selepas habis program Teknik Cordobana, mereka terus dibantu dan dibimbing melalui aplikasi WhatsApp kerana kita tidak mahu peserta dibiarkan begitu.

“Peserta perlu bayar hanya sekali yuran seumur hidup dan selepas menyertainya, mereka boleh mengikuti Teknik Cordobana bukan sahaja di Malaysia, sebaliknya di Indonesia dan Singapura secara percuma,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com