Lima Dipenjara Dan Denda RM1,000 Kerana Berhimpun Dan Merusuh


IPOH - Mahkamah Majistret Ipoh semalam menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari  dan denda RM1,000 ke atas empat lelaki selepas mereka mengaku bersalah berhimpun dan  melakukan  satu  rusuhan membabitkan senjata di Bandar Baru, Menglembu, di sini, 2 Julai lepas.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Siti Hafiza Jaafar ke  atas empat tertuduh itu  ialah  A. Joseph Raj, 29; P. Velmurugan, 34; K. Selva Ganapathy, 31 dan  S. Magiesvaran, 23.

Siti Hafiza turut menjatuhkan hukuman  penjara 14 hari dan denda   RM1,000  ke atas  S. Loggarajan, 27 serta denda RM1,000 ke atas tiga lagi tertuduh,  R. Satish Kumar, 22; M. Ilangeswaran,  28 dan S.Krishnan, 30 yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang sama.

Kelapan-lapan didakwa menganggotai satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan menggunakan  senjata yang boleh membawa maut atau apabila digunakan sebagai senjata boleh menyebabkan  kecederaan terhadap S. Adwinray, 23; P. Kechan Kumar, 21 dan S. Sutagar, 29, di  Lorong  Kledang   Timur 10,  Bandar  Baru , Menglembu pada pukul 6.30 petang, 2 Julai lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan  dan  dibaca  bersama- sama  dengan Seksyen 34 Kanun yang sama,yang membawa hukuman penjara  sehingga  lima  tahun  atau  denda  atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda ditetapkan. Kelapan-lapan lelaki itu membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abraf sementara peguam  Farihah  Arshad mewakili kesemua tertuduh. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com