Lembah Bujang Aset Pelancongan Kedah Selepas Langkawi


SUNGAI PETANI - Lembah Bujang yang menyimpan khazanah Tamadun Hindu dan Islam terawal akan menjadi satu lagi aset pelancongan di Kedah selepas pulau peranginan Langkawi.

Kawasan bersejarah yang terletak dalam Parlimen Merbok itu dijangka menjadi tumpuan pelawat pada masa depan, sekaligus bakal mengubah lanskap ekonomi di kawasan sekitarnya. 

Lembah Bujang, bukan sahaja dikenali sebagai kawasan sejarah silam tetapi juga tempat para ilmuan membuat penyelidikan dan menggali sejarah lampau.

Kedudukan geografi Lembah Bujang yang berlatar belakangkan Gunung Jerai dan Sungai Merbok yang menjadi 'pintu masuk' para pedagang melalui  Selat Melaka pada zaman lampau adalah khazanah pelancongan yang amat bernilai.


Sewajarnya kerajaan negeri serta pusat memberi perhatian khusus kepada kawasan itu kerana nilainya amat tinggi kepada sektor ekonomi dan pelancongan.

Kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan bagi membangunkan kompleks arkeologi Sungai Batu di Lembah Bujang yang berusia lebih 2,000 tahun agar menjadi kawasan pelancongan terkemuka di Asia Tenggara.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata ini kerana pembangunan kawasan bersejarah itu kelak akan menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor pelancongan yang sedia ada di negeri ini khususnya di tanah besar.

"Seperti yang kita beritahu sebelum ini, kerajaan dalam proses untuk menubuhkan sebuah yayasan bagi mengawasi pengurusan dan pembangunan di Sungai Batu seperti Candi Borodor di Indonesia dan Angkor Wat di Thailand yang diuruskan oleh badan bebas yang tersendiri,"katanya kepada Bernama selepas merasmikan Persidangan Industri Pelancongan Wilayah Utara Kedah, di sini, hari ini.


Pada 23 Mei tahun lalu, kompleks arkeologi itu melakar sejarah negara dan Asia Tenggara apabila diisytihar secara rasmi sebagai tamadun terawal dan tertua di rantau ini.

Acara bersejarah itu diabadikan melalui penyerahan plak pengisytiharan oleh pakar arkeologi daripada Universiti Oxford, Prof Dr. Stephen Oppenheimer kepada Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global di Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin.

Sejak menjalankan kajian di Sungai Batu, pasukan arkeologi USM telah membuat beberapa penemuan penting seperti relau melebur besi, jeti pelabuhan serta bangunan pentadbiran.

Bagaimanapun penemuan terpenting adalah monumen bulatan yang disahkan telah dibina pada tahun 110 Masihi iaitu 1,900 tahun dahulu menggunakan teknik 'Optically Stimulated Luminescence' (OSL) yang berkemungkinan berfungsi untuk tujuan ibadat bagi penganutnya yang mengamalkan kepercayaan animisme.

Turut ditemui beberapa tinggalan kapal purba di sungai kuno yang pernah mengalir di kawasan bersejarah itu ribuan tahun dahulu.

Persidangan selama dua hari bermula hari ini merupakan anjuran kerajaan negeri dan Tourism Malaysia bertujuan melihat prospek pelancongan yang kian berkembang di beberapa daerah, khususnya Kubang Pasu, Pendang, Yan  dan Alor Setar.

Persidangan dihadiri kira-kira 70 pengusaha calet dan hotel serta ejen pelancongan di negeri ini juga antara lain  mencari idea baharu untuk memacukan lagi industri pelancongan negeri Jelapang Padi ini,  program berkenaan- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com