Lelaki Warga Myanmar Disamun, Dikelar, Ditikam Lima Lelaki Menyamar Polis


LELAKI warga Myanmar, Min Tun Um, 54, maut selepas dikelar di leher dan ditikam di rusuk kanan oleh lima lelaki yang menyamar polis.

Sebelum itu mereka turut menyamun mangsa yang sedang tidur bersama isterinya warga Indonesia di dalam bangsal berhampiran tapak projek perumahan Bukit Bintang Maya, Sungai Petani, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa yang sedang tidur dikejutkan suspek yang meminta pasport konon ingin membuat pemeriksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, salah seorang suspek kemudian mengambil beg milik mangsa berisi wang tunai RM3,000 dan dua unit telefon bimbit.

Menurutnya, suspek turut merampas beg isteri mangsa berusia 40-an yang mengandungi dua unit telefon bimbit, tiga cincin emas dan seutas rantai emas sebelum mengikat wanita terbabit di sebatang pokok berhampiran bangsal itu.

"Malah wanita terbabit turut melihat salah seorang suspek memegang parang dan terdengar jeritan suaminya tidak lama kemudian sebelum mereka terus melarikan diri turun ke bawah bukit.

"Isterinya kemudian berjaya melepaskan ikatan itu dan lari meminta bantuan sebelum datang semula bersama tiga rakan suaminya namun menemui mangsa dalam keadaan terbaring dan meninggal dunia," katanya.

Mior Farid berkata, polis yang tiba di tempat kejadian kemudian menemui kesan kelar di leher dan tikaman di rusuk kanan.

"Siasatan mendapati mereka sudah berkahwin dua tahun lalu dan mangsa berniaga menjual air di rumah kongsi berhampiran tapak projek itu.

"Pasangan terbabit turut tinggal di rumah kongsi itu dan hanya akan tidur di bangsal di atas bukit itu pada masa tertentu jika ada terdengar operasi dijalankan pihak imigresen," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan dan suspek dikenal pasti warga tempatan sedang diburu.

Isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian itu, kira-kira jam 9 malam, dia dan suami serta sekumpulan pekerja warga asing lari bersembunyi di atas bukit yang berhadapan rumah kongsi mereka kerana bimbang ada operasi menahan warga asing oleh jabatan imigresen.

Katanya, namun kira-kira jam 1 pagi muncul lima lelaki ke atas bukit terbabit dan mengaku sebagai polis sebelum bertindak menahan mereka lalu meminta pasport.

"Dua dari suspek kemudian mengikat saya dan seorang lagi menarik suami dan merampas beg yang mengandungi wang tunai RM3,000 dan dua telefon bimbit.

"Lelaki itu turut merampas beg milik saya yang di dalamnya ada dua telefon, tiga cincin dan satu rantai emas serta pasport.

"Ketika itu saya dengar suami menjerit, "jangan la" namun ketika itu keadaan gelap dan muka suspek tidak berapa jelas," katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com