Lelaki, Wanita Boleh Disebat

 Related image

SHAH ALAM - Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat dilakukan di khalayak ramai bukan sahaja dihadkan kepada golongan lelaki, tetapi termasuk juga wanita.

Menurut Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Nik Ahmad Kamal, hanya pesalah lelaki sahaja yang boleh dikenakan sebatan di bawah undang-undang sivil, sementara pesalah wanita dikecualikan.

"Tetapi di bawah undang-undang jenayah syariah, semua pesalah akan dikenakan hukuman sebat tanpa mengira lelaki ataupun wanita," katanya.

Selain mengenakan hukuman sebat di khalayak ramai, persidangan Dun Kelantan baru-baru ini, yang meluluskan pindaan enakmen tersebut turut membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Beliau menjelaskan, Kerajaan Kelantan hanya meminda tatacara jenayah yang sedia ada dan ia akan dapat dilaksanakan setelah mendapat perkenan sultan.

"Mengikut perlembagaan, ia membenarkan mahkamah syariah mengenakan hukuman sebat tetapi tidak pula menyebut, sama ada ia dibenarkan sebat di khalayak ramai atau tidak.

"Keputusan sama ada boleh dikenakan sebat atau tidak terletak di tangan hakim. Saya percaya, kuasa hakim dapat menentukan sama ada sesuatu hukuman perlu disebat depan khalayak ramai ataupun tidak," katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Anuar Tan Abdullah pula berkata, tujuan mengenakan hukuman sebat depan khalayak ramai adalah untuk mendidik dan mengharapkan pesalah menginsafi kesalahan dilakukan mereka.

Jelasnya, selepas pindaan itu dibuat, jumlah sebatan masih kekal seperti sebelumnya iaitu enam kali sebatan.

"Begitu juga dengan pesalah. Ia hanya dikenakan ke atas pesalah Islam sahaja. Pesalah bukan Islam tidak akan dikenakan hukuman sebat.

"Ahli-ahli politik kerap mempolitikkan isu agama bagi mengelirukan golongan bukan Islam," katanya.

Menurut Anuar, beliau tidak akan menyalahkan masyarakat Cina kerana masih keliru dengan keputusan tersebut, bagaimanapun sebagai ahli politik, mereka mempunyai tanggungjawab dan perlu faham untuk menerangkan kepada rakyat, dan bukan sengaja mempolitikkan isu agama.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com