Lelaki Cuba Bunuh Diri Kena Ikat Tangan, Kaki


ANGGOTA bomba terpaksa mengikat tangan dan kaki lelaki yang meronta dan cuba melarikan diri selepas diselamatkan daripada cubaan bunuh diri di Kota Laksamana, Melaka Tengah, semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, lelaki dipercayai warga Indonesia berusia 30-an berenang ke tengah laut kira-kira dua kilometer dari Jeti Marina sebelum kehadirannya disedari sekumpulan pemancing yang memaklumkan kakitangan di marina sebelum bomba dihubungi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Razali Che Ara berkata, pihaknya mendapatkan bantuan bot di jeti marina untuk ke lokasi mangsa terapung.

"Ketika dihampiri, lelaki itu kelihatan ketakutan. Dia juga enggan naik ke dalam bot walaupun sudah berkali-kali dipujuk.

"Kami cuba menariknya ke dalam bot menggunakan tali namun, gagal. Melihat lelaki itu sudah kepenatan kami sekali lagi menghampirinya dan terus mencapai tangan dan rambut untuk ditarik ke dalam bot," katanya.

Razali berkata, pihaknya terpaksa mengikat lelaki berkenaan sejurus diselamatkan kerana dia meronta-ronta untuk melepaskan diri.

Menurutnya, lelaki yang hanya memakai seluar dalam itu juga terpaksa dipikul dua anggota bomba dari jeti ke ambulans kerana sekali lagi cuba melarikan diri.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com