Lelaki Cederakan Penumpang, Cuba Buka Pintu Kecemasan Pesawat Air Asia Ditahan


NEW DELHI - Seorang lelaki India cuba membuka pintu kecemasan pesawat AirAsia yang dipenuhi penumpang ketika dalam penerbangan, mencederakan beberapa penumpang lain dan anggota kru yang bergegas menahannya ketika kapal terbang itu bersedia untuk mendarat.

Susulan kejadian itu, Aftab Ahmed, 32, ditahan dan diserahkan kepada pihak berkuasa lapangan terbang di bandar raya Ranchi lewat semalam.

"AirAsia mengesahkan bahawa pesawat itu berhadapan penumpang tidak stabil dalam penerbangan dari New Delhi ke Ranchi pada 10 Julai.

"Sebaik mendarat di Ranchi, penumpang itu diserahkan kepada Pasukan Keselamatan India Pusat (CISF) untuk siasatan lanjut," kata jurucakap pesawat dalam kenyataan.

Bagaimanapun, pegawai tidak memberi komen mengenai status penumpang ditahan itu, kejadian sebenar atau motifnya.

Laporan Press Trust of India menyatakan Ahmed ialah penduduk Ranchi, ibu negeri Jharkhand.

"Seorang lelaki cuba membuka pintu kecemasan, beberapa minit sebelum mendarat.

"Beliau juga didakwa mencederakan beberapa penumpang dan anggota kru apabila mereka cuba menghalangnya," menurut laporan. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com