Leka "Selfie", Berlagak "Diva" Antara Punca Mukhriz Gagal Urus Ekonomi Kedah?


ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hanya pandai mengaburi mata anak muda di Kedah dengan berswafoto, namun jelas gagal memberi khidmat mentadbir negeri Jelapang Padi itu dengan baik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pendedahan tentang rizab kewangan kerajaan negeri yang merosot teruk untuk tiga tahun berturut-turut sepanjang pentadbirannya langsung tidak diceritakan kepada orang Kedah.

Namun begitu, Mukhriz bagai tidak merasa malu untuk terus leka mengejar populariti, sekaligus membayangkan bekas Menteri Besar itu seolah-olah tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Hakikatnya ekonomi negeri Kedah mencatatkan pertumbuhan tidak memberangsangkan sepanjang tempoh lebih 2 tahun beliau mentadbir Kedah di mana rizab kewangan serta kutipan hasil kerajaan negeri merosot.

"Banyak pihak dan golongan muda di negeri ini, tidak tahu mengehtahui fakta itu sehingga mereka terpengaruh dengan permainan persepsi yang dimainkan oleh beliau dengan adegan hanya pandai berswafoto sahaja.

"Pemuda UMNO Kedah pada dasarnya melihat Mukhriz tidak berminat utk berkhidmat dan meningkat ekonomi negeri tetapi lebih menumpukan thdp populariti dan imej peribadi semata-mata.

"Terbukti bahawa rizab kewangan Kedah merosot daripada RM208.94 juta pada 2013 kepada RM43.40 juta pada 2015 manakala jumlah kutipan hasil negeri ini turut menurun iaitu daripada RM518.3 juta pada 2013 kepada RM411.05 juta pada 2015.

"Mukhriz sepatutnya akur dan bertanggungjawab bahawa angka ini secara jelas membuktikan pentadbiran beliau gagal dan tindakan menukar beliau drpd terus menjadi menteri besar adalah tepat dan perlu dilakukan pada waktu itu," kata Shaiful Hazizy dalam satu kenyataan kepada Kedahnews.com.


Tegas Shaiful Hazizy, prestasi Mukhriz amat mengecewakan, namun ia adalah amat berbeza dengan prestasi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang berjaya mengembalikan pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

"Apabila Dato’ Seri Diraja Ahmad Bashah mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan negeri, jumlah pelaburan di dalam sektor pembuatan meningkat lebih 90 peratus dari RM1.356 bilion pada tahun 2015 kepada RM2.183 bilion (2016).

"Pelaburan asing di dalam sektor pembinaan juga meningkat lebih 90 peratus iaitu RM882 juta pada tahun 2015 kepada RM1.567 bilion (2016)," katanya.

Beliau turut menyindir pedas Mukhriz yang sering menghina Ahmad Bashah dengan mempersoal tahap pendidikan, namun Menteri Besar itu tetap gigih dan terbukti lebih berjaya berbanding dirinya meskipun tidak memiliki ijazah dari universiti luar negara.

"Walaupuan ada cakap-cakap sebelum ini yang mempertikaikan tahap akademik Datuk Seri Ahmad Bashah yang tidak belajar di Universiti, namun beliau membuktikan pengalaman dan kearifan beliau di dalam pentadbiran negeri mampu memberi impak yang besar terhadap pentadbiran negeri.

"Nyata 'Pasukan Muafakat' yang beliau lebih daripada setahun yang lalu mampu menyelamatkan Kedah daripada terus dibuai politik 'swafoto' dan 'diva'," katanya. 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mendedahkan kajian yang menunjukkan rizab Kerajaan Negeri Kedah telah mencatatkan penurunan sepanjang tiga tahun berturut-turut semasa Mukhriz  menjadi Menteri Besar.
"Pada tahun 2013, rizab negeri mencatatkan RM208.94 juta merosot kepada RM148.24 juta (2014) dan RM43.41 juta (2015).
"Selain rizab, prestasi kutipan hasil kerajaan negeri di bawah Mukhriz merosot setiap tahun iaitu RM518.43 juta pada tahun 2013 kepada RM509.48 juta (2014) dan RM411.05 juta (2015),” katanya.
- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com