Latif Pastikan Emas Miliknya


ATLET lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, berjaya mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi lalu selepas melakukan lompatan 7.37 meter dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London semalam.

Catatan itu juga berjaya memadam rekod kejohanan 7.35m yang dilakukannya dua tahun lalu di Qatar.

Dalam percubaan pertama, Latif sekadar melakukan lompatan sejauh 6.97 meter berbanding seteru utamanya, Zoran Talic, yang melakukan 7.32m.

Malah, Latif jatuh ke kedudukan ketiga selepas dipintas atlet Ukraine, Dmytro Prudnikov, yang melakukan lompatan 7.12m.

Bagaimanapun, dalam percubaan keempat, Latif memperkemaskan lagi teknik larian dan lompatan sehingga berjaya memintas dua atlet tersebut untuk berada di tangga teratas dengan catatan 7.36m, yang juga rekod kejohanan yang baru sebelum sekali lagi memperbaharui rekod dengan lompatan sejauh 7.37m.

Walaupun pada percubaan terakhir Latif sekadar melakar 7.11m, ia sudah memadai selepas dua pencabar terkuat, iaitu Talic dan Prudnikov, kekal dengan catatan yang dilakukan pada awal percubaan.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com