Kim Swee Buru Kemenangan


PETALING JAYA - Ketua Jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengintai kemenangan apabila pasukan kendaliannya turun berdepan skuad Myanmar B-23 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, Khamis.

Beliau menjelaskan keputusan positif dalam perlawanan itu akan menaikkan semangat pemain menjelang aksi sulung berdepan Indonesia pada pusingan kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di Bangkok, Thailand pada 19 Julai ini.

"Tiada pasukan yang inginkan kekalahan walaupun pasukan kita hanya sempat menjalani latihan sehari sahaja dan saya percaya para pemain turut inginkan kemenangan," katanya pada sidang media praperlawanan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya di sini, Rabu.

Kim Swee menegaskan walaupun persediaan pasukan agak pincang kali ini selepas beberapa pemain lewat melaporkan diri kerana terlibat dengan Liga Malaysia, beliau yakin barisan pemain sudah bersedia mempamerkan aksi terbaik menentang Myanmar.

Beliau memaklumkan hampir kesemua 23 pemain termasuk beberapa muka baharu yang dipanggil, sudah melaporkan diri di Wisma FAM untuk aksi persahabatan pada Khamis.

Kapten skuad B-22 negara, Mohd Adib Zainuddin turut menyeru rakan sepasukan untuk memberikan persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri.

Sementara itu,  Ketua Jurulatih B-22 Myanmar, Gerd Zeise berkata perlawanan persahabatan itu adalah sebahagian daripada persiapan beliau untuk kejohanan di Bangkok, sambil menambah 23 pemain yang dibawanya cergas untuk perlawanan tersebut.

Warga Jerman berusia 64 tahun itu berkata, sebelum berlepas ke Malaysia, pasukannya menyertai pertandingan empat negara Piala Bank KBZ , selain bermain dalam  perlawanan persahabatan dengan pasukan senior.

“Pemain-pemain telah berkumpul untuk latihan pusat dalam masa tiga minggu lepas dan perlawanan  persahabatan ini  merupakan satu ujian yang baik sebelum ke Bangkok.

"Walaupun, kami telah melakukan persiapan awal, pemain tidak sepatutnya mengambil mudah  skuad  Malaysia dan kami perlu bersedia untuk perlawanan tersebut," kata Zeise. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com