Kes Tahanan Lari: Nelayan Disambung Reman, Polis Bebas Dengan Jaminan


NELAYAN disambung reman tiga hari bagi membantu siasatan kes tahanan meloloskan diri dari polis di Sungai Nibong, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, lelaki berusia 56 tahun berkenaan dibawa ke mahkamah, hari ini untuk perintah sambung reman sehingga Ahad.

"Lapan anggota polis berusia antara 27 sehingga 59 tahun membabitkan empat Lans Koperal, tiga Koperal dan seorang Sarjan yang ditahan Ahad lalu akan dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini," katanya.

Dalam kejadian 2.30 pagi Ahad lalu, tahanan, Anuar Ayat, 43, dilaporkan berjaya melarikan diri ketika dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan.

Bagaimanapun, siasatan mendapati tahanan menyogok beberapa orang anggota polis Lokap Bayan Baru yang membawanya untuk bertemu keluarganya.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghyee Lye berkata, anggota polis berkenaan kemudian membuat laporan palsu dan mendakwa van yang digunakan untuk membawa Anuar ke Hospital Balik Pulau mengalami kerosakan sebelum tahanan berkenaan berjaya melarikan diri.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com