Kes Dera : Ibu, Abang Direman 7 Hari Lagi



TEMPOH reman ibu dan abang kanak-kanak perempuan dua tahun yang mati dipercayai didera, 9 Julai lalu dilanjutkan selama tujuh hari lagi mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Raub Selamat berkata, Mahkamah Majistret semalam membenarkan permohonan polis melanjutkan tempoh reman ke atas wanita berusia 40-an dan anaknya yang berusia 22 tahun sehingga 22 Julai ini.

"Polis memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh itu," katanya ketika ditemui di Majlis Hari Raya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan tekanan hidup dipercayai menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan sering menjadi mangsa melepaskan geram hingga ditemui mati pada 9 Julai lalu.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, ibu mangsa dikatakan baru pulang ke bilik sewanya, di bangunan rumah kedai di sekitar Jalan Ros di sini, sebelum melihat anak perempuannya itu terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan lebam di kepala dan badan lalu meminta bantuan daripada penyewa lain.

Penyewa berkenaan menghubungi Hospital Segamat sebelum pasukan perubatan tiba dan membawanya ke wad kecemasan hospital itu untuk memberikan rawatan namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

Ibu mangsa tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 6 pagi hari yang sama sebelum dia dan anak lelakinya ditahan bagi membantu siasatan.

Mangsa kemudian dibawa ke wad kecemasan Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia.

Hasil pemeriksaan, pasukan perubatan mendapati terdapat kesan lebam lama dan baru di belakang kepala dan tubuh mangsa menyebabkan dia dipercayai pernah dipukul sebelum ini.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com