Kertas Siasatan Kes Tahanan Lolos Di P. Pinang Hampir Siap


GEORGE TOWN – Kertas siasatan kes lapan anggota polis dan seorang nelayan ditahan membantu siasatan seorang tahanan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya melarikan diri awal pagi Ahad lepas, hampir siap.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata kertas siasatan kes itu dijangka diserahkan kepada Bukit Aman dalam masa terdekat.

“Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu dan kami akan serahkan kepada Bukit Aman dalam masa dua atau tiga hari lagi sebelum merujuk kepada Ketua Unit Pendakwaan Pulau Pinang bagi tindakan selanjutnya. Saya percaya kes itu dapat disiapkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Dalam pada itu, Anuar berkata nelayan berusia 56 tahun yang tamat reman hari ini dibebaskan dengan jaminan polis selepas polis melengkapkan siasatan ke atasnya.

Dalam kejadian awal pagi Ahad itu, tiga tahanan dibawa keluar dari lokap berpusat Bayan Baru pada 2 pagi dengan alasan untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, siasatan mendapati  mereka dibawa bertemu keluarga masing-masing di Sungai Ara.

Seorang daripada tahanan terbabit Anuar Ayat, 43, melarikan diri ketika dikatakan bertemu dengan rakannya di Sungai Nibong selepas menemui keluarganya di sebuah kondominium di Sungai Ara.

Susulan itu, polis menahan lapan anggota berumur 27 hingga 59 tahun dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu lepas dan mereka digantung kerja sehingga siasatan selesai.

Katanya usaha memburu Anuar masih giat dijalankan. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com