Kerajaan Thailand Beli 8 Jet Pejuang Korea Selatan


BANGKOK - Kerajaan Thailand semalam meluluskan pembelian lapan jet pejuang canggih KAI T-50 Golden Eagle buatan Korea Selatan bernilai AS$258 juta (RM1.12 bilion), kata Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha.

Junta tentera meningkatkan bajet ketenteraan hampir setiap tahun sejak merampas kuasa pada 2014 dan kebanyakan persenjataan dibeli dari China.

Kementerian Pertahanan sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan tidak secara eksklusif membeli senjata dari China tetapi masih berurusan dengan negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS).

Kabinet meluluskan pembelian lapan jet itu dalam fasa kedua perjanjian pada 2015 di mana Thailand membeli empat jet dari Korea Selatan.

KAI T-50 Golden Eagle ialah keluarga pesawat supersonik latihan termaju dan tempur ringan yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries bersama Lockheed Martin.

“Kami membeli pesawat dari Korea Selatan. Anda boleh lihat kami tidak terikat dengan satu negara sahaja,” kata Prayuth.

Pada bulan lalu, ketua tentera Thailand berkata, AS merancang menjual empat helikopter Black Hawk selepas menggantung penjualan senjata kepada Bangkok susulan rampasan kuasa.

AS sejak sedekad lalu sudah menjual peralatan ketenteraan bernilai lebih AS$960 juta (RM4.12 bilion) termasuk helikopter, sistem peluru berpandu udara ke udara, beberapa peluru berpandu tentera laut dan sistem torpedo.

Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan memberitahu, pesawat baru itu bakal mengganti jet pejuang lama yang berusia 20 tahun.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com