Keluarga Pembantu Tahfiz Lega Namun Masih Risau

 Image result for thaqif

KOTA TINGGI - Berita tentang keputusan bedah siasat kes kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, yang menunjukkan ia disebabkan penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan ternyata melegakan keluarga bekas pembantu warden Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ).

Adik kepada bekas pembantu warden berkenaan yang mahu dikenali sebagai Hasrol, 23, berkata, keluarganya dapat tahu tentang laporan perubatan itu petang semalam selepas dimaklumkan salah seorang abangnya.

"Alhamdulillah... kami lega namun dalam masa sama kami tetap risau kerana kami difahamkan keluarga Allahyarham masih mahu meneruskan tindakan undang-undang.

"Tambahan pula kami bukanlah keluarga yang senang kalau hendak upah peguam sekalipun," katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Lok Heng Barat, semalam.

Kata anak nombor lima dari enam beradik itu, abangnya itu kini bekerja mengikut abang nombor dua dan menetap bersama abangnya.

Menurutnya, selepas dibebaskan dengan jaminan mahkamah, abangnya itu lebih banyak menyendiri di rumah dan tidak banyak berbual mengenai kejadian yang berlaku di madrasah berkenaan.

"Pada awalnya ketika dimaklumkan tentang kes ini kami terkejut dan tidak sangka kerana kami mengenali abang bukanlah seperti yang diperkatakan. Abang saya dengan lipas pun dia takut. Jadi kami memang terkejut bila dia dimaklumkan dengan kes dera itu.

"Dia memang tak bercerita dengan adik beradik pasal hal di madrasah. Tambahan pula dia memang seorang pendiam dan selepas dibebaskan dia lagi bertambah pendiam dan lebih banyak duduk di bilik.

"Namun saya difahamkan dia ada bercerita dengan mak dan abah tentang apa yang berlaku sebenarnya," katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan akhbar bertarikh 5 Julai lalu, memaklumkan penyebab kematian Mohamad Thaqif adalah Leptospirosis (kencing tikus) dan dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah.

Ia kemudiannya mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya melibatkan kegagalan organ untuk berfungsi.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com