Kedah Tersungkur Di Tangan Kelantan


ALOR SETAR - Kekalahan mengejut 3 -1 pasukan Helang Merah kepada Kelantan pada aksi Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi, sedikit mengecewakan peminat pasukan pilihan terbabit.

Kelantan umpama keluar dari badi kekalahan, corak permainan yang ditunjukkan anak buah  Zahasmi Ismail itu baru kali ini membuahkan hasil.

Namun begitu, kekalahan kepada Kelantan tersebut tidak merubah keduduhan pasukan tersebut sebagai penghuni teratas Kumpulan C dalam perlawanan Piala Malaysia itu.

Faktor keletihan dan tidak ada rezeki berkemungkinan menjadi faktor kekalahan.

Namun begitu, Kedah tetap mempamerkan aksi cemerlang apabila memberi saingan yang sengit ketika bertandang ke tempat lawan.

Tanpa menunggu masa yang lama Kedah mula mencemaskan Kelantan hasil kesilapan dilakukan Norhafiz Zamani Misbah namun percubaan Ken Ilso Larsen diselamatkan penjaga gol, Mohd Ramadhan Abd Hamid, pada minit kedua.

Kedah dilihat banyak mengatur serangan dan mempunyai dua peluang keemasan, namun begitu penyudahnya agak mengecewakan.

Saling berbalas serangan pada separuh masa pertama berlaku namun tiada sebarang gol dapat dihasilkan.

Masuk separuh masa kedua, tuan rumah berjaya menjaringkan gol hasil jaringan tendangan lencong Morgaro Gomis pada minit ke - 54.

Cemas dengan gol tersebut, Kedah kembali bangkit memberi saingan tetapi dirundung malang apabila Kelantan meledakkan gol kedua menerusi rembatan menarik Abou Bakr Al-Mel yang gagal diselamatkan Mohd Farhan, untuk menjadikan kedudukan 2-0, pada minit ke-65.

Kedah kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan Mohd Qayyum dan Liridon Krasniqi tenang menyempurnakannya untuk menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke - 85.

Malangnya, impian Kedah untuk kembali bangkit  menjadi kelam apabila gol ketiga Kelantan diledakkan dalam masa tambahan oleh Abou Bakr Al-Mel menjadikan kemenangan 3-1. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com