Kedah Perlu Agresif Pasarkan Produk Pelancongan Tanah Besar - Ahmad Bashah


ALOR SETAR - Kedah mempunyai aset pelancongan yang cukup bernilai terutama dari segi warisan, sejarah kesultanan Kedah dan eko pelancongan yang asli.

Kini tiba masanya untuk kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan memberi fokus bagi memasarkan produk-produk pelancongan di tanah besar dengan cara lebih agresif dan komersial.

Perkara itu ditegaskan oleh  Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada majlis penutup Persidangan Industri Pelancongan Kedah yang disertai 80 peserta di Star City Hotel, di sini, petang semalam.

Ahmad Bashah berkata, sekalipun sektor pelancongan bukanlah satu industri utama untuk negeri  ini tetapi pihak kerajaan yakin ia juga akan menjana pendapatan kepada pemain-pemain dalam  industri berkenaan selain membantu meningkaykan  hasil  pendapatan  rakyat  dan negeri secara amnya

 "Kedah kaya dengan nilai tamadun tertua di Asia Tenggara di Sungai Batu, Lembah Bujang terutama dalam bidang pelancongan ibadah, katanya pada program yang di sertai oleh 80 pengusaha sektor itu.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pelancongan dan Warisan, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid. 


Sementara itu Pengerusi Forward Kedah, Khairil Hanafi berkata, persidangan bertujuan meningkatkan integrasi sesama pengusaha industri pelancongan dalam mencari idea-idea baharu bagi meningkat sektor itu.

Katanya, program berlangsung selama dua hari bermula pada 17 Julai lalu merangkumi pengusaha industri pelancongan dari lima daerah membabitkan Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Pokok Sena dan Padang Terap.

“Sudah sampai masanya untuk berfikir secara kreatif dan bergerak secara kumpulan serta mengambil tindakan proaktif dalam usaha membangunkan industri pelancongan di negeri ini.

“Menerusi program dua hari ini, kita berjaya menghasilkan 17 inisiatif baru yang dinamakan sebagai ‘Deklarasi Pelancongan Kedah Utara'. Inisiatif berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Besar Kedah,” katanya.

Selain Pulau Langkawi, Lembah Bujang dan Gunung Jerai,  Kedah memiliki di kawasan tadahan Empangan Pedu, Muda, Ahning dan Beris yang berpotensi dimajukan.

Gunung Keriang yang dahulu terabai kini juga telah dibangunkan dengan resort, muzium dan pusat ekuatik sementara Sungai Sedim, Kulim sesuai untuk aktiviti sukan lasak manakala Mukim Relau, di Bandar Baharu pula terkenal dengan dusun pengeluar durian bermutu-.Kedahnews.com 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com