Keadaan Kanak-Kanak Diketahui Dalam Masa Terdekat

 Image result for Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya

GEORGETOWN - Keputusan sama ada seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dimasukkan ke Hospital Melaka pada Rabu lepas menghidap penyakit anjing gila akan diketahui dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata setakat ini kanak-kanak berketurunan Bidayuh dari Sarawak itu mempunyai simptom penyakit berkenaan, bagaimanapun ujian masih belum mengesahkannya.

"Kanak-kanak ini sudah pun dimasukkan ke Hospital Melaka dan dia berkemungkinan disyaki menghidap penyakit anjing gila. (Ujian) akan mengambil sedikit masa untuk mengesahkannya. Apa-apa pun kita tunggu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Klinik Pakar Mata Vista di sini semalam.

Semalam Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Dr Ghazali Othman berkata kanak-kanak itu dipercayai digigit anjing gila di Serian, Sarawak baru-baru ini.

Bapa mangsa dikatakan merupakan seorang anggota tentera yang bertugas di Melaka.

Ditanya sama ada anggota keluarga kanak-kanak terbabit perlu dikuarantin, Dr Hilmi berkata ia tidak perlu jika mereka tidak digigit anjing gila.

Pada 4 Julai lepas mangsa pertama dan kedua yang juga pasangan adik-beradik yang masing-masing berusia enam dan empat tahun dari Kampung Paon, Sungai Rimu Bakung, Serian, Sarawak meninggal dunia di Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas dikesan dijangkiti virus rabbies hujung bulan lepas.

Mangsa keempat wabak rabbies merupakan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dari Kampung Ampungan, Serian yang masih kritikal dan sedang dirawat di HUS.

Sementara itu semasa merasmikan klinik mata tersebut, Dr Hilmi berkata menurut Survei Mata Kebangsaan Kedua pada 2014, kira-kira 413,000 rakyat Malaysia berumur 50 tahun lebih mengalami masalah penglihatan disebabkan katarak.

Beliau berkata survei itu juga menganggarkan kira-kira 1.3 juta rakyat akan mengalami masalah katarak dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang sementara 43,000 orang akan menjadi buta. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com