Jurutera Langkawi Ditahan SPRM, Disyaki Minta RM30,000


ALOR SETAR - Seorang jurutera syarikat perunding yang berkhidmat di Pulau Langkawi telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kerana disyaki  meminta dan menerima wang sogokan berjumlah RM30,000.

Menurut sumber dari SPRM Kedah, suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 5.30 petang semalam di pejabat SPRM Cawangan Langkawi.

Suspek disyaki menerima wang berikut sebagai 'hadiah' bagi mendapatkan kelulusan kemajuan kerja bulanan oleh pemaju.

“Suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM30,000 daripada seorang subkontraktor berusia 40-an sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan kemajuan kerja bulanan yang dibuat oleh pengadu untuk mendapatkan tuntutan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Sementara itu, pihak SPRM kini sedang dalam permohonan bagi mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Langkawi semalam untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad telah mengesahkan penahanan suspek dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com