Jurang Retakan Bongkah Ais Gergasi Melebar


LONDON – Sebuah bongkah ais gergasi dikenali sebagai A-68 yang retak dan terpisah dari Antartika minggu lalu dilihat te­rus hanyut ke arah laut.

Menurut portal berita BBC, imej satelit terkini menunjukkan jurang antara bongkah ais sebesar kira-kira 5,800 kilometer persegi itu dari kawasan Larsen C yang merupakan lokasi asal juga semakin melebar.

Imej-imej berkenaan diperoleh melalui satelit Deimos-1 dan bukannya sesuatu yang mudah untuk mendapatkan imej tersebut di Antartika ketika ini ekoran waktu malam yang lebih panjang serta berawan.

Untuk itu, pengkaji terpaksa bergantung kepada radar atau sensor inframerah untuk mendapatkan imej tersebut.

Dalam imej satelit Deimos-1 yang diperoleh Jumaat lalu, kelihatan segmen besar fast ice atau ais nipis pada blok bongkah ais gergasi itu sudah terpisah sepenuhnya.

“A-68 kemungkinan besar akan mengikuti laluan timur laut, menuju Georgia Selatan dan Kepulauan Sandwich Selatan,” kata saintis dari Institut Alfred Wegener, Thomas Rackow.

Bongkah ais seberat satu tri­lion tan bersaiz Delaware, negeri di Amerika Syarikat (AS) dan terbesar pernah disaksikan itu terpisah dari rak ais Larsen C di Antartika di antara 10 dan 12 Julai lalu.

Penyelidik daripada projek penyelidikan MIDAS Antarctic memaklumkan, keadaan tersebut menyebabkan lapisan ais Larsen C berkurangan kepada lebih 12 peratus dan persekitaran Semenanjung Antartika berubah selama-lamanya.

Pasukan saintis kini berusaha untuk mengkaji sama ada bongkah ais gergasi A-68 itu akan memberi kesan terhadap beberapa lagi rekahan pada bahagian utara dikenali sebagai Gipps Ice Rise yang kekal statik dalam tempoh lama sebelum ini.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com