Jumlah Pelancong China Ke Langkawi Dijangka Meningkat


LANGKAWI - Jumlah pelancong China ke Langkawi mampu meningkat sehingga 380,000 orang tahun ini berikutan kesediaan beberapa syarikat penerbangan mengadakan penerbangan terus di antara destinasi-destinasi di negara itu dan pulau ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata peningkatan itu adalah sebanyak tiga kali ganda berbanding 127,689 orang pelancong negara itu yang tiba tahun lepas.

“Khidmat penerbangan terus ini membantu mempromosikan lagi Langkawi sebagai destinasi pilihan di kalangan pelancong-pelancong China,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai majlis menyambut ketibaan penumpang penerbangan terus pertama China Southern Airlines dari Ghuangzhou ke sini.

Katanya China merupakan di antara lima negara penyumbang tertinggi kepada jumlah ketibaan pelancong ke negara ini dan Langkawi merupakan di antara destinasi pilihan popular di kalangan rakyat negara tembok besar itu.

"Hubungan sejarah antara China dan Kedah akan kembali terjalin dengan adanya penerbangan terus ini", katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar China Southern Airlines, Eric Wang berkata Langkawi merupakan destinasi keempat di Malaysia bagi syarikat itu untuk mengadakan khidmat penerbangan terus   selepas Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.

Katanya pemilihan Langkawi sebagai destinasi terbaru syarikat itu dibuat berdasarkan populariti pulau peranginan ini di kalangan rakyat China di Ghuongzhou yang ingin melancong ke Malaysia.

Beliau berkata penerbangan terus itu diadakan tiga kali seminggu mulai semalam yang menggunakan pesawat Airbus 320 yang mampu membawa 250 penumpang pada satu-satu masa.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com