JAIS Siasat Isu Daging Kambing Campur Babi


SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengambil tindakan terhadap syarikat produk sejuk beku yang juga pemegang permit import (AP) daging jika didapati menyalahgunakan perakuan sijil halal.

Pengarah JAIS Datuk Haris Kassim berkata, pihaknya termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bertindak jika syarikat berkenaan didapati menggunakan logo halal terhadap daging kambing yang dipercayai bercampur daging babi.

“Kami semak dengan syarikat dan mereka menafikan mengimport daging berkenaan. Itu siasatan awal terhadap syarikat itu dan kemungkinan ia dilakukan syarikat lain yang menggunakan AP mereka, namun semuanya masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui pada majlis Sambutan Hari Raya JAIS, di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menyita empat kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging kambing yang dibawa masuk dari Sepanyol dalam serbuan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, Isnin lalu.

Bekalan daging dianggarkan seberat 120 tan bernilai RM2 juta diletakkan dalam kontena sejuk beku itu didapati diimport syarikat produk sejuk beku tempatan yang beroperasi di Selangor.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com