Jack Ma Ingin Jadi Wanita, Lahir Anak


PENGASAS dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma melakukan kejutan apabila memilih menjadi wanita jika diberi peluang hidup kali kedua.

Dengan menjadi wanita, katanya, dia merancang melahirkan dua anak dan mengendalikan dua syarikat yang bagus.

Jack berkata demikian ketika berucap dalam satu seminar keusahawanan wanita di Hangzhou, China, baru-baru ini.

Memetik laporan daripada portal berita dari China, kknews.cc, tanpa rasa ragu-ragu, Jack dengan tegas tidak mahu menjadi lelaki seperti dirinya yang ada pada hari ini, sebaliknya lebih suka menjadi wanita sekiranya diberi pilihan.

"Saya mahu jadi wanita, mahu lahirkan dua anak dan mahu membuka dua syarikat yang bagus, tetapi bukan syarikat besar," katanya yang menerima gelak ketawa dan tepukan gemuruh daripada hadirin.

Kata jutawan dari China itu lagi, lelaki hanya ingin bercita-cita membesarkan perniagaan mereka berbanding dengan wanita yang mampu menjadikan perniagaan dijalankan dengan lebih naik.

"Sesebuah syarikat besar tidak semestinya boleh menjadi sebuah syarikat yang baik manakala sebuah syarikat yang baik tidak perlu merancang untuk menjadi sebuah syarikat besar," kata Jack yang kini dilantik sebagai penasihat ekonomi digital kepada Kerajaan Malaysia.

Menurut beliau, salah satu rahsia kejayaan yang dicapai oleh Kumpulan Alibaba ialah kerana mempunyai ramai pegawai dan kakitangan wanita.

"Buat masa ini, Kumpulan Alibaba mempunyai 36 rakan kongsi dan 12 daripadanya adalah wanita. Manakala dalam bahagian pengurusan tertinggi, satu pertiga terdiri daripada wanita.

"Bagi jawatan biasa, jumlah antara kakitangan lelaki dan wanita adalah hampir sama," kata beliau.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com