Inspektor Polis Dihukum Penjara Enam Tahun, Denda RM30,000 Angkara Rasuah


SUNGAI PETANI - Angkara menerima suapan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja asing tanpa permit, seorang pegawai polis menerima 'ganjaran' apabila dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM30,000.

Hakim, Mohammad Khalid Ab. Karim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Inspektor Syed Othman Konchong, 54, setelah dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen 2, di sini semalam.

Mahkamahmendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi pertuduhan pertama, pegawai yang bertugas di Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan itu, didakwa secara rasuah bersetuju menerima suapan berjumlah RM1,700 dari seorang individu, Fauzanudin Arafadin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja asingnya yang dikatakan tidak mempunyai permit sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan menerusi satu panggilan telefon pada 14 Julai 2011, kira-kira pukul 1.15 petang yang mana ketika panggilan tersebut dibuat, Fauzanudin berada dalam bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Alor Setar.

Untuk kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Dalam pertuduhan kedua, bapa kepada empat anak itu pada 26 Jun 2011, kira-kira pukul 6 petang didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan iaitu wang sebanyak RM2,000 daripada Fauzanudin untuk sebab yang sama.

Pertuduhan untuk kesalahan yang didakwa dilakukan di dalam kabin tapak pembinaan Klinik Kesihatan Teroi, Yan itu dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh sekali lagi didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 kerana secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM1,700 dari Fauzanudin melalui Sarjan Abd. Hamid Saad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 14 Julai 2011, kira-kira pukul 4.30 petang di dalam kabin tapak pembinaan Klinik Kesihatan Teroi, Yan kira-kira pukul 4.30 petang.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Negeri, A. Hafiizh Abu Bakar sementara tertuduh diwakili peguam Nurliyana Mohd. Radzi. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com