Hukuman Sebat Mampu Cegah Gejala Negatif


PELAKSANAAN hukum sebat depan khalayak dianggap berkesan dalam usaha mencegah gejala negatif, terutama sekali kelahiran anak luar nikah di negara kita.

Menurut Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Anuar Tan Abdullah, masalah kelahiran bayi luar nikah dikatakan semakin hari semakin serius apabila jumlahnya telah mencecah kira-kira 260,000 orang dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

"Laporan ini adalah hasil kajian yang dilakukan oleh dua ahli akademik daripada Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia.

"Ketua Wanita Isma, Dr Norsaleha Mohd Salleh dalam laporannya menyatakan, seramai 53,492 bayi luar nikah telah dilahirkan pada 2013; 54,614 pada 2014 dan 51,169 pada 2015 dengan jumlah keseluruhannya adalah 159,275.

"Dengan kata lain, secara purata kira-kira 140 bayi luar nikah dilahirkan setiap hari oleh ibu yang beragama Islam antara 2013 hingga 2015. Jumlah ini belum termasuk lagi bayi yang digugurkan dan dibuang," kata Anuar Tan seperti yang disiarkan dalam Sin Chew Daily.

Minggu lalu, persidangan Dun Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

RUU itu juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Sumber: Sinar Online


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com