Harga Roti Gardenia Naik 15 Sen


SYARIKAT pengeluar roti berjenama Gardenia dilaporkan menaikkan harga roti antara lima hingga 15 sen sejak tiga hari lalu.

Difahamkan, syarikat tersebut telah menghantar maklumat mengenai penyelarasan harga roti terbaru kepada pihak peruncit, baru-baru ini.

Pemilik pasar mini Chuan Huat di Taman Malim Jaya, Melaka, Puan Tan ketika memberitahu Sin Chew Daily berkata, bagi Gardenia 400g, harganya dinaikkan 10 sen kepada RM2.50 sebungkus manakala bagi 50g, harga dinaikkan lima sen kepada 90 sen sebungkus.

Bagaimanapun, harga bagi pelbagai jenis kek keluaran syarikat itu tidak dinaikkan.

Selain Gardenia, satu lagi jenama roti iaitu Top turut akan menaikkan harga keluaran rotinya mulai Sabtu ini. Senarai harga terbaru difahamkan telah diserahkan kepada semua peruncit di seluruh negara.

"Bagi jenama Top 400g, mulai Sabtu ini ia akan dinaikkan kepada RM2.30; bagi 550g, harganya ialah RM3.20 dan 90 sen bagi 55g," katanya.

Menurut Tan, ramai pelanggannya rasa terkejut dengan kenaikan harga baharu itu kerana harga tepung dan gula tidak pun dinaikkan dalam masa terdekat ini.

"Kami sebagai peruncit hanya mengikut harga ditetapkan oleh pengeluar. Saya sendiri pun tak pasti apa punca kenaikan harga roti ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com