Hanya Mampu Sapu Ubat Gigi Pada Luka Melecur Anak


MELAKA - Seorang lelaki etnik Rohingya hanya mampu menyapukan ubat gigi, selain ubat yang dibekalkan hospital kepada bayi perempuannya yang melecur lebih 70 peratus pada badan akibat tersiram air kopi panas.

Dalam kejadian di kediaman keluarganya di Jalan Bachang, berhampiran Melaka Sentral, di sini, jam 5 petang pada Sabtu lalu, mangsa, Siti Nur Aishah Mohd Sadek berusia 15 bulan dikatakan mahu mencapai cawan mengandungi kopi panas yang diletakkan bapanya di atas meja.

Bapanya, Mohd Sadek Guramia, 33, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri, Senuwara Bugem Feran Ali, 28, bersama dua lagi anak berusia lima dan tujuh tahun sedang berehat.

“Ketika itu, Siti Nur Aishah berada berhampiran meja, namun secara tiba-tiba dia berdiri dan terus mencapai cawan mengandungi kopi panas yang tertumpah ke atas badannya. Saya tidak sempat menghalang kerana kejadian berlaku sekelip mata,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Beliau berkata, melihat Siti Nur Aishah yang tidak berhenti menangis kerana sakit akibat melecur, dia membawa anak bongsunya itu ke Hospital Melaka untuk rawatan.

“Caj rawatan anak saya kena bayar waktu itu RM420, risau tak cukup wang saya bawa anak balik, namun pihak hospital ada bekalkan ubat.

“Saya memang tak mampu nak bayar kerana pendapatan hasil jualan barangan lusuh setiap bulan tak menentu sekitar RM400 hingga RM600 saja, sedangkan saya kena tanggung dua lagi anak dan isteri yang tidak bekerja,” katanya.

Kehidupan lima beranak itu juga amat daif dan mereka kini menjadikan kabin di sebuah pusat cucian kereta sebagai tempat berlindung atas ihsan pemilik tanah terbabit.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Jawatankuasa Flotilla 2 Arakan Antarabangsa (IF2A) diketuai Presidennya Datuk Nur Sahar Osman.

Nur Sahar berkata, pihaknya akan membantu untuk membiayai kos rawatan Siti Nur Aishah kerana risau bayi terbabit akan mengalami jangkitan kerana lecur pada badannya tidak dirawat dengan sempurna.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com