Guna Nombor Pendaftaran Sekecil 'Tag Nama'


KUALA LUMPUR - Tindakan seorang remaja lelaki yang menggunakan plat nombor bersaiz kecil seperti 'tag nama' membawa padah apabila ditahan dalam Op Motosikal di Jalan Bangsar di sini, awal pagi semalam.

Remaja berusia 20-an ketika ditemui pemberita berkata dia menggunakan nombor pendaftaran kecil memandangkan ia merupakan trend pengguna motosikal ketika ini. 

"Memang tengok kawan-kawan lain pakai, sebab lain mungkin kerana takut kena saman ketika langgar lampu isyarat.

"Ini juga kali kedua saya ditahan polis trafik sebab tidak mempunyai lesen memandu," katanya. 

Tinjauan Bernama mendapati selain menggunakan nombor pendaftaran kecil, motosikal ditunggang remaja berkenaan tidak mempunyai cermin sisi serta tidak mempunyai ciri keselamatan lain. 

Ketua Operasi ASP Mohd Hasbullah Saidin berkata penggunaan nombor pendaftaran 'fancy' (hiasan) dan bersaiz kecil sememangnya menjadi trend dalam kalangan penunggang motosikal pada masa ini.

"Mereka guna nombor plat fancy sebab inginkan gaya sendiri, kesalahan ini memang antara yang difokuskan," katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Hasbullah berkata dalam operasi lebih tiga jam bermula pukul 10 malam dengan disertai 54 anggota dan pegawai itu, pihaknya mengeluarkan 418 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Operasi yang dijalankan di Jalan Bangsar itu menyasarkan pengguna motosikal yang tidak mematuhi peraturan.

"Operasi ini diadakan bagi mengurangkan aktiviti kurang sihat melibatkan pengguna motosikal terutamanya menjelang Sukan SEA ke-29 tidak lama lagi," katanya.

Selain itu, beliau berkata 12 buah motosikal disita dan dua individu ditahan dipercayai memandu dalam keadaan mabuk. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com