GRO Berselindung Di Sebalik Restoran Dalam Ladang Kelapa Sawit Ditahan


SITIAWAN - Seorang wanita mengandung lima bulan antara 21 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO), ditahan dalam serbuan Ops Noda di sebuah restoran dalam ladang kelapa sawit di Simpang Dua, di sini.

Serbuan bermula jam 6.30 petang itu dilakukan empat pegawai dan 15 anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang diketuai Pegawai Turus D7, Deputi Superintendan V Annadurai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Gan Tian Kee, berkata semua wanita warga asing yang ditahan berusia antara 20 hingga 35 tahun dengan 12 daripada mereka adalah warga China, lapan warga Vietnam dan seorang warga Thailand.

Katanya, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan dua wanita tempatan berusia 30-an dipercayai 'penjaga' wanita warga asing terbabit.

"Seramai lima daripada wanita warga asing ditahan termasuk seorang wanita mengandung warga Vietnam, tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Ketika serbuan dilakukan, beberapa wanita berjaya meloloskan diri menaiki motosikal dan kereta.

"Dua wanita tempatan yang ditahan masih disiasat bagi mengenal pasti sama ada kedua-dua ini penjaga wanita warga asing berkenaan atau pemilik premis," katanya.


Tian Kee berkata, berdasarkan pemantauan, semua wanita yang ditahan melayan pelanggan bermula jam 5 petang hingga 8 malam sebelum ada di antara mereka dibawa pulang pelanggan untuk tujuan tertentu.

"Serbuan hari ini adalah yang kedua dilakukan tahun ini dan semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk siasatan lanjut.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah manakala bagi kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit sah disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com