Gigi Kami Dah Tak Jongang, Tak Rongak Lagi!


PETALING JAYA - Dua rakan ini menjadi antara individu paling awal di Malaysia yang kisah mengenai mereka tular melalui media sosial.

Farhan Zainal Samsuri, 25, dan rakannya, Fahmi, 22, pernah popular tujuh tahun dulu apabila video mereka menyanyi sambil makan gula-gula, mengetuk baldi sehingga terketuk tangan sendiri mencuri perhatian ramai.

Gara-gara gigi si penyanyi (Fahmi) yang rongak dan gigi si pemain drum (Farhan) jongang pada masa itu, kumpulan duo ini telah diberi nama 'The Ghost Teeth Band' oleh pengguna media sosial pada masa itu.

Kini, selepas tujuh tahun, gambar mereka kembali tular apabila pengguna Facebook yang juga orang kampung mereka, Ruslan Saleh, 35, memuat naik gambarnya bersama mereka di Facebook peribadinya.

Gambar tersebut diambil ketika Farhan dan Fahmi pulang beraya di tempat kelahiran mereka di Kampung Badong Luar, Nenasi, Pahang, baru-baru ini.


Farhan ketika dihubungi mStar Online berkata, dia kini tidak lagi diejek kerana menegetuk baldi, malah telah mempunyai set drum sendiri yang dihadiahkan oleh bapanya.

"Gigi saya pun dah OK, dah tak jongang sebab pakai 'braces'. Sama juga dengan Fahmi, giginya pun dah tumbuh elok, tak rongak lagi," katanya.

Farhan berkata hubungannya dengan Fahmi masih baik walaupun rakannya itu sedang belajar di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Farhan yang kini bekerja sambilan di ibu kota berkata, sebagai seorang yang cintakan muzik, dia tidak menolak jika ada pihak yang mahu membantu mengetengahkan bakatnya dalam industri hiburan tanahair.

"Segan nak pergi uji bakat sebab saya tak ada gaya, bakat adalah! Fahmi pula ada rupa, pandai menyanyi tapi dia sedang 'study' pula," katanya.

Menurut Farhan, walaupun tidak mempunyai rancangan serius untuk menceburi bidang seni, dia dapat merasakan bahawa muzik cukup sebati dengan dirinya.

Pemuda itu kini sedang mencipta sebuah lagu berkonsep 'indie modern' dengan memasukkan elemen 'jiwang'.

Ditanya adakah nama 'The Ghost Teeth Band' akan berkubur begitu sahaja, Farhan berkata segalanya bergantung kepada keputusan perbincangannya dengan Fahmi.

"Kami berkawan sejak kecil, jadi kena bincang sebelum buat apa-apa keputusan.

"Jika ada peluang pergi jauh, mungkin kami akan bergerak sebagai satu kumpulan dengan nama lain, tapi bila fikir balik ada baiknya juga kami kekalkan nama 'asal-usul' kami itu," katanya.

Sementara itu, Ruslan sebagai individu yang sentiasa mengikuti perkembangan dua rakan ini, mengakui bakat seni yang ada dalam diri mereka berdua.

"Satu kampung kenal mereka, bukan sebab bakat sahaja tapi sebab mereka ni baik budaknya.

"Tapi disebabkan tak ada siapa kenal dan tak ada orang nak tolong mereka, mereka tak dapat pergi jauh dalam bidang seni," katanya.

Menurut Ruslan, beliau juga mahu membantu Farhan dan Fahmi lebih maju tetapi tidak tahu cara dan saluran yang betul.

"Nak tolong duit tak mampu, saya cuba-cubalah muat naik gambar mereka di Facebook, mana tahu ada rezeki mereka," katanya.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com