Geng Budin 'Terkulai'


JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan kegiatan samun bersenjata api Geng Budin, selepas menahan empat ahli kumpulan berkenaan dalam beberapa siri serbuan sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata serbuan antara jam 2 petang hingga 8 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Johor berjaya mengesan empat suspek berkenaan.

Katanya, semua suspek termasuk seorang berasal dari Sabah itu berusia antara 21 hingga 32 tahun.

"Bertindak atas maklumat soal siasat, polis menemui sepucuk pistol semi auto jenis CZ dan satu kelopak bersama tiga butir peluru hidup jenis 9mm di kawasan Pasir Gudang.

"Modus operandi kumpulan yang sudah tiga bulan bergiat aktif sekitar kawasan Seri Alam dan bandar raya ini adalah dengan menunjukkan objek berupa pistol ketika melakukan kegiatan samun berkumpulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, semalam.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu mengaku melakukan enam kes samun dalam bangunan premis perniagaan iaitu empat di Seri Alam dan dua di kawasan Johor Bahru Selatan.

"Semua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman pada hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut terhadap pembabitan mereka dalam kes di daerah lain dalam negeri ini.

"Pemeriksaan mendapati semua tangkapan memiliki kira-kira 25 rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan kesalahan dadah selain semua mereka positif syabu selepas melakukan ujian air kencing," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Lebih Berat 1971 kerana memiliki pistol, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (memiliki peluru hidup) dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (samun berkumpulan).

"Siasatan juga turut dijalankan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) jika terdapat elemen yang boleh dikaitkan dengan perundangan itu, " katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com