Gadis Dari Bangladesh Manusia Keenam Didunia Hidap Penyakit 'Orang Pokok'


DHAKA - Seorang gadis berusia 12 tahun menderita kerana dipercayai menghidap penyakit ‘orang pokok.’

Bahagian kanan atas dada hingga ke tangannya kini berketuat seolah-olah seperti kulit pokok.

Tangan kanannya semakin teruk apabila ia semakin membesar dan mengherot menyebabkan dia tidak dapat menggunakannya.

Anehnya, bahagian kiri dada gadis Bangladesh yang hanya dikenali sebagai Muktamoni itu, tidak terjejas walaupun doktor berkata, penyakit itu sudah merebak ke seluruh badannya.

Buat masa ini, Muktamoni menerima bantuan rawatan daripada Hospital Kolej Perubatan Dhaka, kata bapanya, Ibrahim Hossain kepada wartawan.

Tidak dapat dipastikan sama ada gadis itu sebenarnya menghidap epidermodysplasia verusicgormis (EV) penyakit ganjil yang digelar ‘wabak orang pokok’ atau tidak.

Jika disahkan dia menghidap penyakit itu, Muktamoni adalah antara kira-kira enam orang di seluruh dunia yang menghidapnya.

Januari lalu, seorang lelaki, juga warga Bangladesh disahkan menghidap penyakit berkenaan.

Abul Bajander yang badannya penuh dengan ketuat seperti kulit pokok menjalani rawatan yang diharapkan doktor dapat mengubati keadaannya.

Ketika itu, Abu Bajander yang berusia 27 tahun dipercayai seorang daripada empat orang di dunia yang disahkan menghidap masalah kecelaruan genetik itu. 

Pada bulan sama, seorang lagi budak perempuan Bangladesh dipercayai menghidap penyakit serupa.

Sahana Khatun mengalami tumbuhan seperti ketuat pada dagu, telinga dan hidungnya, tetapi doktor tidak dapat mengesahkan penyakit itu.

Penghidap penyakit itu yang lain termasuk seorang lelaki Romania, Ion Toader dan Dede Koswara dari Indonesia.- AGENSI

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com