Durian Duri Hitam Ori Bandar Baharu: Rahsia Di Sebalik "Duri Hitam"


Sebelum ini, kita sering mendengar nama-nama durian premium seperti Udang Merah, XO, Green Bamboo, Golden Phoenix dan pelbagai lagi jenis durian kategori "D" serta yang popular, Musang King atau D197.

Namun begitu, tular sejak akhir-akhir ini di seluruh negara dan peringkat antarabangsa mengenai sejenis durian yang diberi nama Duri Hitam yang dikatakan mempunyai rasa yang lebih enak berbanding Musang King.

Meskipun mula diperkenal pada tahun lalu, Duri Hitam hanya tular pada musim ini dan mendapat permintaan yang sangat tinggi khususnya dari "hantu durian" dari dalam dan luar negara.

Menjejak lokasi asal Duri Hitam di negara ini, Kedahnews.com memenuhi jemputan ke dusun durian, Serene Ochard, milik pengusaha, Heng Mee Oo bagi memperoleh maklumat lebih lanjut mengenai durian terhangat di pasaran itu.

Tiba di lokasi dusunnya yang terletak di Bukit 90 Relung, Permatang Kerat Telunjuk yang terletak di Bandar Baharu, Mr Heng yang berpengalaman menguruskan dusun durian selama 30 tahun itu menjemput kami di kaki bukit dengan kenderaan pacuan 4 rodanya.

Menurut Mr Heng, dusun duriannya mempunyai sebanyak 6,000 pokok durian Duri Hitam dan selebihnya adalah jenis Musang King yang ditanam di sekitar bukit tersebut seluas 37 hektar di daerah berkenaan.

"Ramai peminat durian yang datang untuk cuba rasa Duri Hitam, artis, selebriti, pemimpin dan jurnalis antarabangsa yang pakar tentang buah durian di seluruh dunia," jelasnya kepada Kedahnews.com.



Menurut Mr. Heng, mencuba Duri Hitam memerlukan teknik yang tertentu bagi memastikan keenakan durian klon tersebut dapat benar-benar dinikmati apabila terdapat "rinkle" atau kedutan "orang tua" pada ulas durian berkenaan.

Katanya, Duri Hitam perlu diketuk sedikit atau dijatuhkan ke tanah bagi mendapatkan "rinkle" terlebih dahulu selain ia akan menyemarakkan lagi aroma durian yang pasti menambat selera.

"Rinkle macam orang tua seperti saya, kedut-kedut umur 60 tahun ke 90 tahun. Tapi jangan ketuk atau jatuhkan keterlaluan, nanti terlampau berkedut dan buah boleh rosak," katanya berkongsi teknik menjamah Duri Hitam.

Kata Mr Heng lagi, Duri Hitam perlu dijamah perlahan-lahan dan tidak gelojoh bagi memastikan kita dapat menikmati keenakan tekstur isi durian itu yang sememangnya akan "melekat" di rongga mulut.

"Selepas makan, hanya basuh mulut dan jari saja. Jangan minum air dalam tempoh 20 minit hingga 30 minit. Barulah sempurna rasa Duri Hitam dan itu akan mengurangkan rasa tak selesa selepas makan durian," jelasnya merujuk kepada tabiat sendawa yang menjadi kebiasaan selepas menjamah raja buah itu.


Mengulas mengenai teknik untuk memastikan kualiti Duri Hitam tidak terjejas dan tahan lama, Mr Heng menjelaskan bahawa setiap buah tersebut akan diikat pada tangkainya dengan tali dan ditambat supaya tidak gugur ke tanah seperti kebiasaan.

"Kita ikat dengan tali pada tangkainya dan kita tambat pada pokok. Jadi bila dah masak, buah tak gugur, tali akan tegang dan kita turunkan perlahan-lahan ke bawah," katanya berkongsi tips penjagaan kualiti Duri Hitam.

Justeru itu katanya, Duri Hitam yang dieksport ke luar negara dapat bertahan lama dan tidak seperti durian premium lain.

Bertanyakan tentang rahsia di sebalik nama Duri Hitam, Mr Heng berkata, durian itu dinamakan Duri Hitam bukan kerana durinya berwarna hitam.

"Jika kita perhatikan di bahagian bawah Duri Hitam, kita akan dapat lihat seperti duri panjang berwarna hitam di tempat yang tak tumbuh duri sebesar syiling 50 sen, kerana duri itulah dinamakan Duri Hitam," jelasnya tentang ciri istimewa Duri Hitam.


Jelas Mr Heng, beberapa jenis durian lain juga mempunya duri hitam seakan-akan itu ketika ia mula berbuah, namun duri tersebut akan gugur beberapa minggu sebelum buah berkenaan matang.

Berbeza dengan Duri Hitam, durinya itu akan kekal sehingga masak dan dipungut, namun ia agak mudah tertanggal.

"Kadang-kadang ada yang tertipu, buah lain tapi dikatakan Duri Hitam. Sebab itu kita kena tahu dan kenal Duri Hitam supaya tidak rugi membayar mahal, tapi tidak mendapat kualiti Duri Hitam yang sepatutnya," katanya lagi. - Kedahnews.com

1 comment:

  1. As Salam Tuan, sangat menarik klon durian ini dan bagaiman untuk saya dapatkan benih terus dari kebun ini. Harap Tuan boleh kongsi alamat tempat dan no phone owner utk saya hubungi. Dr Sukhilmi Othman 0196008755

    ReplyDelete

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com