Durian Duri Hitam Jadi Ikon Bandar Baharu: "Sedap Baq Hang..!"


ALOR SETAR - "Sedap baq hang..! Lebih sedap dari Musang King," demikian kata wakil media yang sanggup bersusah payah ke Bukit 90 Relung, Permatang Kerat Telunjuk, yang terletak di Bandar Baharu, Kulim, semalam.

Menikmati lebih dua bakul durian dari jenis Duri Hitam itu di dusun yang terletak di atas bukit itu, wakil-wakil media itu dilayan penuh mesra oleh Heng Mee Oo, pemilik yang mengusahakan dusun durian berkenaan kira-kira 30 tahun yang lalu.

Rata-ratanya memuji keenakan durian Duri Hitam yang didakwa lebih sedap dari Musang King, terutama dari sudut tekstur, lemak manis yang sememangnya akan membuat ramai tergila-gilakan raja buah dari jenis tersebut.

Menurut Heng, beliau pada awalnya hanya mengusahakan kebun durian jenis biasa, namun hasil pulangannya tidak meningkat dan ada kalanya berdepan dengan kerugian sekiranya berlaku lambakan durian yang terlalu banyak.

Namun atas sikapnya yang berani mencuba dan gigih berusaha mempertingkatkan kualiti buah durian di dusunnya itu, ia membuahkan hasil apabila berjaya menghasilkan buah durian klon jenis Duri Hitam.

"Ada yang menyangka Duri Hitam datangnya dari Balik Pulau. Tapi tidak, Duri Hitam sebenarnya datang dari Bandar Baharu di sini. Durian dari sini yang dibawa ke sana," jelasnya ketika ditemubual Kedahnews.com di dusunnya, semalam.
Jelas terpancar wajah puas di kalangan wakil-wakil media yang hadir "membelasah" durian Duri Hitam di dusun Serene Ochard berkenaan meskipun terpaksa bersusah payah datang dari sini dan menaiki kenderaan pacuan 4 roda untuk tiba di dusun tersebut.

"Bergoncang sikit pun tak apa macam ni, tapi memang puas. Rasa Duri Hitam memang lain dari yang lain. Musang King pun tak boleh lawan kalau macam ni punya sedap," kata salah seorang wakil media.


Sekumpulan wakil media semalam dijemput Exco Kerajaan Negeri, Dato' Norsabrina Mohd Noor, untuk melawat dusun Heng yang merupakan pengeluar kepada 90 peratus pasaran Duri Hitam, sekaligus yang terbesar di negara ini.

Berkeluasan kira-kira 37 hektar, Heng memiliki sebanyak 6,000 pokok durian Duri Hitam yang mana 2,000 pokok daripada jumlah itu sudah matang dan membuahkan hasil yang membawa pulangan lumayan kepadanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com