Dua Rentung Dalam Kebakaran Di Papar


KOTA KINABALU - Dua lelaki rentung dan seorang lagi melecur dalam dua kejadian kebakaran berasingan melibatkan sebuah pondok dan sebuah rumah di daerah Papar, kira-kira 70km, dari sini,  malam tadi dan awal pagi ini.

Dalam kejadian pertama pada jam 8 malam di Kampung Seladan, Bongawan, seorang warga emas, Awang Ismail Pengeran Sarifudin, 80, rentung manakala anak lelakinya, Awang Mumin, 56, melecur di bahagian kaki selepas pondok didiami mereka musnah dalam kebakaran.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, hari ini, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.29 malam sebelum menghantar sebuah jentera bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian.

Dalam kejadian kedua, kira-kira jam 4 pagi tadi, di Kampung Pedawan, seorang lelaki, Mark Jamaing, 36, ditemui dalam keadaan rentung di bahagian dapur rumahnya di Kampung Pedawan.

Selain rumah mangsa yang terbakar 80 peratus, sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda turut musnah dalam kejadian berkenaan.

Menurut PGO, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 4.31 pagi sebelum menghantar sebuah jentera berserta lapan anggota yang tiba di lokasi kejadian kira-kira 16 minit kemudian.

Kenyataan itu menyebut bahawa operasi memadam kebakaran di Kampung Pedawan selesai pada jam 5.22 pagi. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com