Dua BMW "Merempit" 180km/j Di Laluan Had 50km/j, 2 Lelaki Ditahan


SINGAPURA – Dua lelaki berjaya ditangkap pada Ahad lalu kerana disyaki menyertai perlumbaan haram di kawasan laluan awam di sini, menurut polis Singapura dalam satu kenyataan media.

Suspek yang masing-masing berusia 38 tahun dan 39 tahun, ditangkap selepas memandu kereta BMW milik mereka sendiri dengan kelajuan hampir mencecah 180 kilometer sejam walhal had di laluan itu ialah 50 kilometer sejam.

Insiden pelik tersebut dilaporkan berlaku di Lim Chu Kang Road yang menghala ke Jalan Bahar sejauh hampir 10 kilometer. Mereka berdua ditangkap oleh para pegawai polis trafik yang kebetulan berada di laluan tersebut.

Mengikut undang-undang Singapura, mereka yang didapati bersalah kerana menyertai perlumbaan haram boleh dihukum penjara paling lama enam bulan dan didenda antara S$1,000 (RM3,100) hingga S$2,000 (RM6,200).

Pesalah berulang pula boleh dipenjara maksimum 12 bulan dan didenda hingga S$3,000 (RM9,300). Jika didapati bersalah atas dakwaan memandu secara berbahaya, boleh dijel sehingga 12 bulan dan didenda hingga S$3,000.

Bagaimanapun pesalah berulang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun dan didenda sehingga S$5,000 (RM15,500) manakala kenderaan digunakan mereka itu juga boleh dirampas oleh pihak berkuasa.

Media tempatan namun melaporkan memang berlaku peningkatan kes pemandu melebihi had laju ditetapkan setiap tahun sehingga ada sanggup ‘rempit’ di lebuh raya negara jiran yang lebih panjang jaraknya berbanding Singapura.

Dengan bentuk geografi yang kecil, republik tersebut cuma memiliki rangkaian lebuh raya sepanjang 161 kilometer selain 645 kilometer jalan utama dan 557 kilometer lagi jalan sambungan. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com